Kerajaan baharu perlu teruskan agenda pembangunan negara

Madeline Berma
Madeline Berma
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpendapat kerajaan baharu yang akan mengambil alih tampuk pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meneruskan agenda pembangunan negara yang telah dirangka sebelum ini.

Penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilancarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan pelan strategik yang digubal berdasarkan kerangka kerja yang meletakkan asas untuk negara bergerak ke hadapan.

“Ada yang cakap, dengan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, maka berakhirlah pelan ini. Sebenarnya tidak.

“Segala jenis pelan dan apa yang diputuskan sudah pun digazetkan menjadi milik negara, bukan pemimpin kerajaan pada waktu tersebut.

“Maksudnya mana-mana kerajaan yang akan mengambil alih sewajarnya melaksanakan dan meneruskan agenda pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar Harian edisi ke-281 yang bertajuk 'PM Sementara atau Kerajaan Sementara' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib dan Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, Madeline berharap pembentangan Belanjawan 2022 yang dijadualkan berlangsung pada hujung Oktober nanti tidak akan diganjak pada tempoh lain.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap kita boleh menyelesaikan isu politik ini secepat mungkin. Banyak yang perlu dilakukan.

“Saya nak kita pastikan pembentangan bajet tidak akan dilewatkan atau diubah waktu. Yang itu saya khuatir,” katanya.