Lapan dicekup leka berhibur di parti persendirian

Pegawai polis melakukan pemeriksaan di lokasi serbuan.
Pegawai polis melakukan pemeriksaan di lokasi serbuan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan lapan individu termasuk empat wanita warga Vietnam yang dipercayai terlibat dengan parti persendirian di sebuah kondominium di Jalan Lestari, di sini pada petang Selasa.

Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang diketuai Pegawai Turus, Deputi Superintendan Akmal Yahaya kira-kira jam 6 petang hasil daripada risikan dan maklumat awam yang diterima.

Difahamkan ketika serbuan dilakukan, kumpulan terbabit sedang berhibur dengan alunan muzik yang kuat selain dipancar dengan lampu disko yang dipasang dalam unit kediaman terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, selain empat wanita warga Vietnam, mereka yang ditahan terdiri tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Jus minuman yang dicampur dadah turut ditemui ketika pemeriksaan dilakukan dalam parti persendirian yang dianjurkan pada petang Selasa.
Jus minuman yang dicampur dadah turut ditemui ketika pemeriksaan dilakukan dalam parti persendirian yang dianjurkan pada petang Selasa.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kediaman itu disewa oleh salah seorang lelaki berkenaan sejak setahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Ketika pemeriksaan dibuat menemui sejumlah dadah yang dipercayai untuk kegunaan sendiri seperti pil eramin 5, pil ekstasi, jus campuran dadah serta syabu.

"Kita percaya mereka menjadikan kediaman itu sebagai lokasi berhibur ekoran pusat hiburan tidak beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Rahimi berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut merampas peralatan audio dan lampu disko.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dibuat mendapati tujuh daripada mereka positif dadah.

"Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk proses dokumentasi sebelum dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit berbahaya) serta Seksyen 12(3) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan parti berkenaan selain mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai dalam menyampaikan maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis.