Maqis rampas 200kg kotak susu dari Dubai

Kotak susu di dalam kontena yang dibawa masuk dari Dubai tanpa premit sah.
Kotak susu di dalam kontena yang dibawa masuk dari Dubai tanpa premit sah.
A
A
A

KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas sebuah kontena dipercayai membawa masuk bahan makanan tanpa permit yang sah dari Dubai di Pelabuhan Klang Barat di sini pada Selasa.

Maqis menerusi kenyataan memaklumkan rampasan dijalankan menerusi pemeriksaan rutin yang dijalankan pada jam 4 petang.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kontena berkenaan mengandungi sebanyak 200 kotak susu seberat 200 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM928.51.

"Barangan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut kerana gagal mengemukakan Permit Import yang sah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta berkenaan.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurutnya, Maqis menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia," katanya.