X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

JPJ tawar diskaun saman hingga 70 peratus

A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan pengurangan pembayaran saman sehingga 70 peratus kepada semua saman yang boleh dikompaun kecuali kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan, tawaran itu adalah bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64.

"Pengurangan kompaun yang bermula pada Rabu sehingga 16 September 2021 ini akan diberikan kepada semua notis saman yang telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya termasuklah kes yang masih dalam tindakan senarai hitam (blacklist)," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pengurangan ke atas notis saman tersebut adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ.

"Tawaran ini turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuatkuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh tersebut.

"Tawaran pengurangan notis saman ini dibuat bagi tujuan meringankan beban rakyat, selaras dengan kemelut ekonomi yang melanda segenap lapisan masyarakat di negara ekoran daripada pandemik Covid-19," kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, urusan pembayaran notis saman ini boleh dibuat di semua pejabat JPJ Negeri, Cawangan dan UTC, kiosk atau secara dalam talian (online) melalui portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my/).

"Walau bagaimanapun, bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam (blacklist), pesalah dikehendaki untuk hadir semula ke pejabat JPJ (Cawangan ataupun Negeri) bagi tujuan proses dokumentasi semula sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan," tambah kenyataan itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!