Pesawat tentera Afghanistan, helikopter ceroboh ruang udara Uzbekistan

Dua helikopter Afghanistan membawa lebih 20 tentera mendarat di ladang kapas di wilayah Surxondaryo pada tengah malam. - Foto Reuters
Dua helikopter Afghanistan membawa lebih 20 tentera mendarat di ladang kapas di wilayah Surxondaryo pada tengah malam. - Foto Reuters
A
A
A

TASHKENT - Di tengah kejatuhan kerajaan Afghanistan, 22 pesawat tentera serta 24 helikopter membawa 548 askarnya menceroboh ruang udara Uzbekistan dua hari lalu, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan pegawai tinggi Uzbekistan pada Isnin.

Pencerobohan itu berlaku pada Sabtu dan Ahad, dengan tiga pesawat jenis Embraer membawa 314 tentera Afghanistan berusaha mendarat di Lapangan Terbang Karshi Khanabad Uzbekistan tetapi mengubah haluan ke Lapangan Terbang Taraz di Kazakhstan, kata Pejabat Ketua Pendakwa Raya Uzbekistan.

Sebuah jet pejuang Mig-29 Uzbekistan yang mengiringi pesawat Afghanistan bertembung dengan satu pesawat lain sebelum terhempas di wilayah Surxondaryo.

Bagaimanapun, dua juruterbang berjaya melentingkan diri dan menggunakan payung terjun, tambahnya.

Baki pesawat Afghanistan bersama 585 tentera lain diarah mendarat di Lapangan Terbang Taraz, dan siasatan sedang dijalankan berhubung kejadian itu.

Kementerian Pertahanan Uzbekistan sebelum itu mengeluarkan kenyataan melarang pesawat tentera Afghanistan menceroboh ruang udara negaranya berhampiran wilayah Surxondaryo pada Ahad.

Menurut sebuah rakaman video yang tular di media sosial, dua helikopter Afghanistan membawa lebih 20 tentera mendarat di ladang kapas di wilayah Surxondaryo pada tengah malam.

Dalam rakaman tersebut, seorang daripada rakyat Afghanistan berkata Taliban telah menguasai Kabul dan mereka tiada pilihan lain selain melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Taliban menawan Kabul pada Ahad sekali gus menguasai Afghanistan buat pertama kali selepas hampir 20 tahun Amerika Syarikat menduduki negara itu pada tahun 2001. - Bernama