Covid-19: Usaha capai imuniti kelompok, antara usaha keras Muhyiddin

Muhyiddin semalam meletak jawatan selepas 17 bulan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan. - Foto Bernama
Muhyiddin semalam meletak jawatan selepas 17 bulan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia semakin hampir menuju ke arah imuniti kelompok dalam menangani pandemik Covid-19 menjelang akhir tahun ini dan ia adalah satu daripada usaha keras Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac tahun lepas.

Kini, terserah kepada kepimpinan baharu negara untuk mencorakkan hala tuju Malaysia terutamanya dalam usaha memerangi Covid-19 selepas figura politik berusia 74 tahun yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu memutuskan untuk melepaskan jawatannya selaku pemimpin utama negara bersama-sama dengan barisan kabinetnya.

Dalam tempoh 17 bulan pentadbiran Muhyiddin, terdapat sembilan program bantuan dan pakej rangsangan untuk membantu rakyat dan sektor ekonomi, terkesan dengan wabak yang mengancam negara sejak awal tahun lepas.

Inisiatif yang dilaksanakan adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) melibatkan peruntukan RM250 bilion (Mac 2020), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin Tambahan) sebanyak RM10 bilion (April 2020).

Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) melibatkan perbelanjaan sebanyak RM35 bilion (Jun 2020), Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) dengan peruntukan RM10 bilion (September 2020), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion (Januari 2021), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dengan peruntukan RM20 bilion (Mac 2021).

Pemerkasa Plus bernilai RM40 bilion (31 Mei 2021), Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion (28 Jun 2021) dan terakhir inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) bagi menyusun semula peranan dan memperbaharui keupayaan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) Malaysia.

Dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 yang memerlukan pendekatan luar biasa, Ahli Parlimen Pagoh itu mengambil tindakan drastik dengan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, yang ketika itu merekodkan kes baharu sekitar tiga angka.

Tindakan PKP yang dilaksanakan secara berperingkat meliputi PKP Diperketatkan, PKP Bersyarat, PKP Pemulihan disambut baik rakyat. Seruan Muhyiddin untuk terus kekal di rumah dan ayat ‘please stay at home’, ‘Jangan ke sana, ke sini’ turut melekat di minda rakyat bahkan turut diparodikan.

Artikel Berkaitan:

Moratorium penuh, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) iaitu bantuan pemberian tunai secara sekali bayar (one-off) meliputi kumpulan M40, menepati keperluan rakyat yang kemudiannya memberikan gelaran ‘Abah’ kepada Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir atas keprihatinannya.

Desakan rakyat terhadap pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut dipertimbangkan secara berhati-hati dengan pertimbangan terhadap simpanan ketika bersara menjadi keutamaan kerajaan, sebelum meluluskannya.

Hasilnya, tiga inisiatif membabitkan KWSP diumumkan Muhyiddin seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, sebagai memenuhi kehendak rakyat, selain bagi mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung mereka, susulan pelaksanaan PKP yang meliputi beberapa fasa, menyebabkan terdapat beberapa sektor terpaksa dihentikan operasi seketika.

Bagi menjayakan dan meyakinkan rakyat tentang keperluan pengambilan vaksin untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, bapa kepada empat cahaya mata itu, turut menjadi antara individu pertama di Malaysia menerima suntikan vaksin pada 23 Februari.

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada 24 Februari bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik itu, Muhyiddin menyasarkan 80 peratus populasi di negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin secara percuma dan setakat ini RM5 bilion diperuntukkan untuk tujuan itu.

Setakat ini, program berkenaan telah menunjukkan perkembangan awal positif dengan penurunan bilangan kes kategori tiga hingga lima di enam negeri iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang melebihi 40 peratus.

Usaha kerajaan PN menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) membolehkan kadar pemberian vaksin lengkap di Lembah Klang kini mencapai 64.7 peratus, sekali gus menyumbang kepada penurunan kemasukan pesakit ke wad.

Setakat ini, sebanyak 32.9 peratus atau 10,734,415 populasi negara telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Bagi mengatur strategi peralihan keluar negara daripada krisis kesihatan, pada akhir Julai Muhyiddin memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mengandungi empat fasa pelaksanaannya.

Kini, tujuh negeri berada di Fasa Satu iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Kedah, Johor dan Melaka. Fasa Dua PPN melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Sabah manakala Perlis, Labuan dan Sarawak di Fasa Tiga.

Muhyiddin yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad komited meneruskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Walaupun bergelut dengan pelbagai cabaran dari segi politik serta ancaman pandemik, Muhyiddin menyifatkan pelantikannya bukan pada masa terbaik dan perlu menghadapi cabaran ekonomi yang terkesan akibat pandemik.

Mengakui bahawa kerajaan pimpinannya tidak sempurna, Muhyiddin tidak mengalah dan menegaskan bahawa kerajaan PN tidak akan berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita serta sentiasa bergerak serta bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat. - Bernama