UPSI tawar Diploma Thurath Islami tahun hadapan

Akademi Pondok Bitara UPSI akan menawarkan Diploma Thurath Islami kepada pelajar lepasan pondok dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun hadapan.Gambar hiasan
Akademi Pondok Bitara UPSI akan menawarkan Diploma Thurath Islami kepada pelajar lepasan pondok dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun hadapan.Gambar hiasan
A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMASKINI] Akademi Pondok Bitara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menawarkan Diploma Thurath Islami kepada pelajar lepasan pondok dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun hadapan.

Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Profesor Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim berkata, akademi itu menjadi satu-satunya unit yang menjalankan aktiviti melalui sistem pondok di peringkat universiti, sekali gus menjadi keunikan baharu di Fakulti Sains Kemanusian.

"Diploma ini akan memberi peluang lepasan pondok secara khusus bagi mengikuti pengajian berasaskan sistem arus perdana serta mendapatkan kelulusan formal yang diiktiraf.

"Ia bertujuan melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan akademik dalam disiplin Pengajian Turath Islami secara mendalam serta mampu tindak balas positif terhadap isu kontemporari berkait dengan pengajian Turath Islami," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pelajar yang mengikuti diploma itu juga mampu mengaplikasikan kemahiran teknikal termasuk penggunaan teknologi terkini dalam pengajian Turath Islami.

"Graduan kelak mampu mengurus maklumat dengan cekap dalam bidang Turath Islami. Mereka juga mampu menjalankan tanggungjawab terhadap diri melalui pembelajaran sepanjang hayat.

"Graduan juga dilatih mampu mempraktikkan kemahiran pengurusan dan keusahawanan juga mempunyai kebolehan, mempraktikkan profesionalisme dan tingkah laku beretika dalam bidang Turath Islami," katanya.

Menurutnya, Diploma Thurath Islami itu mempunyai ciri-ciri transformatif menerusi ruang pembelajaran yang futuristik serta penggunaan teknologi digital terkini bagi mewujudkan pembelajaran imersif berdasarkan pengalaman.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Akademi Pondok Bitara UPSI telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Yayasan Addin, Jabatan Mufti Perak dan agensi-agensi kerajaan lain serta beberapa pusat pondok secara tradisional di beberapa negeri.

"Akademi ini turut menjalinkan kerjasama dengan tokoh-tokoh pondok di seluruh Malaysia dalam mengukuhkan aktiviti dan program yang dilaksanakan.

"Dalam norma baharu Covid-19 ini, program akademi ini akan dilaksanakan secara virtual atau dalam talian. Kerjasama dengan beberapa universiti awam lain akan dijalinkan dalam mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran secara maya," jelas beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan, Profesor Dr Marzita Puteh berkata, UPSI bakal menjadi universiti awam pertama yang menyediakan peluang pengajian pondok kepada masyarakat yang telah mengikuti pengajian secara formal dan tidak formal.

Katanya, UPSI mampu menjadi pusat dan hab pendidikan Turath Islami yang signifikan dengan statusnya sebagai satu-satunya universiti pendidikan dalam negara.