PM sementara pastikan pentadbiran negara tidak terjejas

Bangunan Perdana Putra menempatkan pejabat Perdana Menteri sementara atau 'caretaker' Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 Foto Bernama
Bangunan Perdana Putra menempatkan pejabat Perdana Menteri sementara atau 'caretaker' Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peranan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sementara bertujuan memastikan pentadbiran negara tidak terganggu dan dapat berlangsung seperti biasa sehingga perdana menteri baharu dilantik, demikian pandangan pakar perlembagaan dan undang-undang.

Pakar perlembagaan, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, sebagai Perdana Menteri sementara, Muhyiddin tidak boleh membuat sebarang keputusan penting dan pentadbiran negara hanya berjalan berdasarkan dasar atau keputusan yang dibuat kerajaan terdahulu.

"Perdana menteri sementara tidak terlibat dalam membuat sebarang keputusan dan hanya berdasarkan dasar sedia. Dalam keadaan sekarang walaupun tiada perdana menteri atau jemaah menteri, fungsi kerajaan masih berterusan cuma secara rasminya, jawatan perdana menteri dan jemaah menteri itu tiada," katanya kepada Bernama.

Khairil Azmin yang merupakan Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Malaysia di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, senario yang berlaku kini adalah sama seperti ketika Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh tahun lepas sekali gus memerlukan perdana menteri baharu dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.