'Teruskan inisiatif musaadah walau saya sudah tiada'

Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak RM591.9 juta melalui inisiatif #Musaadah telah diagihkan bermula Mac tahun lalu sehingga Isnin.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, inisiatif tersebut digerakkan oleh agensi di bawahnya sejak pandemik Covid-19 bermula.

"Saya minta mereka teruskan walaupun saya telah tiada," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Menurutnya, kesemua inisiatif yang dijalankan pihaknya sepanjang 2002-2021 akan dibentangkan pada minggu ini.

"Rakyat perlu tahu ke mana setiap sen zakat, infaq, waqaf yang mereka salurkan melalui kami," katanya.

Beliau berkata, lantikannya sebagai senator dan menteri adalah tanggungjawab dan penghormatan yang dilaksanakan sedaya upayanya sepanjang 503 hari perkhidmatan.

"Menjunjung kasih atas kepercayaan Tuanku (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) kepada patik pacal yang senantiasa mendoakan kebaikan buat Tuanku.

"Sekalung penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi sepenuh keyakinan kepada saya untuk menyumbang kepada negara, begitu juga tidak dilupakan rakan-rakan kabinet yang sentiasa memberi sokongan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli dalam pada itu turut memohon maaf sepanjang berada dalam kabinet Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan enam hari.

"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Saya sayang anda semua," katanya.