X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Pelajar Malaysia terima anugerah di Amerika Syarikat

Raja Akif (gambar kanan) tersenarai antara 27 pelajar kejuruteraan berbakat di dunia yang terlibat dalam bidang teknologi penerbangan vertikal.
A
A

SHAH ALAM - Angan-angan sejak kecil mahu menceburi bidang aeroangkasa, akhirnya menjadi kenyataan apabila Raja Akif Raja Zahirudin, 28 dinobatkan sebagai penerima Anugerah Professor Barnes McCormick Vertical Flight Foundation Scholarship 2021, Amerika Syarikat (AS) oleh Vertical Flight Society.

Menurut laporan Pejabat Mara di AS pada April 2021, Raja Akif terpilih antara 27 orang pelajar kejuruteraan berbakat di dunia yang terlibat dalam bidang teknologi penerbangan vertikal.

Raja Akif berkata, beliau gemar ke lapangan terbang untuk melihat pesawat kapal terbang dan helikopter berlepas serta mendarat sejak daripada kecil.

“Minat yang mendalam dalam bidang aeroangkasa mendorong saya menimba ilmu dengan gigih dan memanfaatkan peluang pelajaran yang disediakan Mara bagi merealisasikan impian menjadi salah seorang pakar dalam bidang ini.

“Kini, saya bertugas sebagai Graduate Research Assistant di Penn State di mana saya berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai kajian dan projek,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Raja Akif memberitahu, pengalaman berkolaborasi dengan beberapa pusat penyelidikan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) merupakan antara pengalaman paling berharga baginya.

Tambahnya, beliau pernah terlibat dalam kajian projek NASA JHU-APL Dragonfly yang bertujuan menghantar sebuah dual-quadcopter ke Titan iaitu salah satu bulan planet Saturn dijangkakan pada 2027.

“Saya pernah berkolaborasi dengan NASA Ames Research Center dalam kajian mengenai konsep rotor senyap iaitu “Anti-Phase Vortex Reduction Control for Rotor Noise Suppression.

“Pada masa ini juga, saya sedang berkolaborasi dengan NASA Langley Research Center untuk mengkaji kelebihan daripada sudut akustik dan prestasi penerbangan yang dihasilkan konfigurasi coaxial co-rotating pada kenderaan eVTOL (Electric Vertical Takeoff and Landing).

“Saya mempunyai impian untuk mengambil sebanyak mungkin pengalaman dan kepakaran teknologi di sini agar dapat memberi sumbangan kepakaran bidang baharu ini kepada Malaysia,” katanya.

Beliau melanjutkan pengajian di Pennsylvania State University, Pennsylvania, AS pada 2012 hingga 2016 di bawah program Skim Pinjaman Pelajaran (SPIP) Mara selama empat tahun dalam jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa di peringkat ijazah sarjana muda.

Raja Akif kemudiannya meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana tajaan Yayasan Daya Diri dan kini sedang menjalankan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Aeroangkasa di Penn State bawah tajaan Mara.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!