Yakin kebijaksanaan Agong lantik PM

Muhamad Muqharabbin (gambar kecil) yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri baharu yang dapat menjamin kestabilan politik dan menyelesaikan isu pandemik Covid-19.
Muhamad Muqharabbin (gambar kecil) yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri baharu yang dapat menjamin kestabilan politik dan menyelesaikan isu pandemik Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri baharu yang dapat menjamin kestabilan politik dan menyelesaikan isu pandemik Covid-19 dengan segera.

Muhamad Muqharabbin bagaimanapun berkata, rakyat perlu menilai semula tindak tanduk ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang beria-ria mahu menukar kerajaan.

"Mereka nak dapatkan kuasa semata-mata bukan kerana ingin menyelesaikan masalah pandemik Covid.

"Kita jangan sesekali lupa, apa yang telah kita dan rakyat lalui sepanjang tempoh PH berkuasa. Janji mereka semuanya dusta," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai itu berkata, ketika masih di tampuk kuasa, PH membiarkan pelancong masuk ke Malaysia di saat wabak itu mula menular selain ketika itu juga ramai yang menderhaka kepada sultan dan raja.

"Ya, memang UMNO mahu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin meletak jawatan, tapi UMNO tetap ingin Perdana Menteri dalam kalangan sesama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk terus menerajui kerajaan sehingga selesai pandemik Covid-19 ini.

"Selepas Ogos ini, sinar untuk negara keluar daripada pandemik ini akan mula kelihatan. Lihat sahaja di Kuala Lumpur, pesakit wad unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudah mula menurun kerana 70 peratus penduduk di Lembah Klang telahpun mengambil vaksin," katanya.

Beliau menegaskan, UMNO sesekali tidak akan menggadai maruah untuk bersekongkol dengan DAP dan PH kerana rakyat pasti muak serta meluat sekiranya parti itu bersama mereka.

Artikel Berkaitan:

"Jangan bagi mereka kuasa ini. Ia kerana mereka akan menyatakan, sebab merekalah kes Covid-19 berjaya turun.

"Sedangkan usaha ini telah dilakukan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan para barisan hadapan lainnya yang bertungkus lumus, menyegerakan pengambilan vaksin dengan pantas," katanya.

Media pada Ahad melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok (Isnin).

Ahli Parlimen Alor Gajah itu dilaporkan berkata, perkara berkenaan dimaklumkan Muhyiddin dalam pertemuan dengan ahli Parlimen Bersatu selama kira-kira dua jam pada Ahad.