Taman rekreasi awam di negeri Fasa 1 PPN dibuka semula

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan membenarkan taman-taman rekreasi awam bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuka bagi tujuan aktiviti riadah berkuatkuasa Isnin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran itu diberikan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutamanya dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap kesihatan mental.

"Tetapi ingat, hanya aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti joging, berbasikal dan bersenam dibenarkan, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) sukan dan riadah dalam Fasa 1 PPN.

"Orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja. Janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Muhyiddin memberitahu, kebenaran tersebut amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah.

"Jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna.

"Ingin saya tegaskan bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang

bertanggungjawab memantau pematuhan SOP di taman-taman rekreasi awam ini, mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat," katanya.

Artikel Berkaitan: