Pemimpin Bersatu mesyuarat bincang hala tuju

A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa pemimpin Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mula tiba seawal 8.45 pagi bagi menghadiri mesyuarat di Publika yang akan diketuai Perdana Menteri selaku Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Difahamkan mesyuarat tersebut bagi membincangkan keputusan peletakan jawatan sebagai perdana menteri dan beliau dijangka menyerahkan surat tersebut esok.

Turut kelihatan, Timbalan Menteri Kementerian Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman; Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Noor Azmi Ghazali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof,

Selain Ahli Parlimen Bersatu, turut hadir Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar Arulnadam dan Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Publika merupakan pejabat Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan juga Ibu Pejabat Perikatan Nasional.

Pengamal media daripada pelbagai agensi mula berkumpul seawal jam 8 pagi.

Pada Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Tidak sampai beberapa jam mengumumkan tawaran kerjasama rentas parti kepada pembangkang, semua tawaran tersebut telah ditolak.

Rata-rata daripada pihak pembangkang dilihat telah menolak mentah-mentah cadangan itu kerana beranggapan tindakan yang dilakukan Muhyiddin bersifat sogokan secara terbuka.