HTAA terima sumbangan 100 kotak kertas A4

Asma (tengah) menerima bungkusan A4 daripada wakil Muafakat Nasional dan MCA di pekarangan HTAA pada Sabtu.
Asma (tengah) menerima bungkusan A4 daripada wakil Muafakat Nasional dan MCA di pekarangan HTAA pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menerima sumbangan 100 kotak kertas A4 selepas pusat perubatan itu mengalami kekurangan bekalan sejak minggu lalu.

Ahli Lembaga Pelawat HTAA, Datuk Dr Johan Mohd Shah berkata, bekalan kertas kehabisan disebabkan ia digunakan bagi pelbagai urusan terutamanya dokumentasi di empat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di daerah ini.

Menurut beliau, penggunaan bahan itu adalah amat tinggi pada setiap hari terutamanya untuk urusan pendokumentasian pesakit wabak Covid-19.

"Sebagai contoh, setiap hari empat keping kertas A4 digunakan untuk seorang pesakit, jika 1,000 pesakit sehari kertas digunakan 4,000 keping malah mungkin lebih.

"Kalau jumlah pesakit lebih daripada 1,000 orang, lagi banyak kertas A4 yang digunakan. Oleh sebab itu, kertas A4 merupakan keperluan mendesak yang amat penting di hospital yang menguruskan PKRC," katanya ketika ditemui di perkarangan HTAA pada Sabtu.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu kepada Ketua Penolong Pengarah (Sumber Manusia) HTAA, Asma Mahiddin di pekarangan hospital berkenaan.

Hadir sama, Dr Johan yang juga Timbalan Ketua UMNO Indera Mahkota dan Timbalan Pengerusi Wanita MCA Indera Mahkota, Datuk Kwang Swee Yuen.

Sementara itu, Andansura berkata, buat permulaan ini, Pas dan UMNO mewakili Muafakat Nasional (MN) bersama MCA menyumbang lebih 100 kotak kertas A4 kepada Kelab Kebajikan dan Sukan HTAA selepas pihaknya mengemukakan permohonan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sumbangan ini juga membuktikan MN Pahang sentiasa bekerjasama dengan erat dalam urusan membantu rakyat.

"Kita harap sumbangan ini dapat membantu pihak hospital mengurangkan tekanan dan kekangan mereka ketika mengendalikan urusan harian di setiap PKRC," katanya.