KBS tetap bantu SIC teruskan program pembangunan

SIC Mini GP, antara program pembangunan dijalankan oleh SIC. - Foto SIC
SIC Mini GP, antara program pembangunan dijalankan oleh SIC. - Foto SIC
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan tetap meneruskan program pembangunan bakat dalam sukan permotoran negara biarpun Petronas tidak menyambung kontrak penajaan dengan SIC.

Menerusi satu kenyataan media pada Sabtu, KBS menegaskan program pembangunan bakat dalam sukan permotoran negara juga adalah selaras dengan objektif pembentukan program sukan permotoran dua roda, sebelum ini.

“Seperti yang kita semua sedia maklum, industri permotoran negara sememangnya terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 hari ini.

“Oleh itu, KBS kini sedang merangka pelan keseluruhan khususnya bagi membantu pelumba negara yang beraksi di kejohanan-kejohanan antarabangsa dan perbincangan lanjut bersama pihak SIC masih diteruskan bagi mencari jalan terbaik menentukan hala tuju yang bersesuaian pada masa hadapan.

“Selain itu, KBS dan SIC turut meningkatkan lagi usaha pembangunan bakat khususnya daripada peringkat akar umbi yang tidak hanya tertumpu kepada bantuan kewangan, tetapi lebih kepada penambahbaikan, pembangunan dan perancangan masa depan,” menurut kenyataan media itu lagi.

Pada Sabtu, SIC dan Petronas mengumumkan bahawa kedua belah pihak bersetuju untuk menamatkan kerjasama pada penghujung saingan MotoGP musim 2021.

Penamatan perjanjian kerjasama (kontrak penajaan), itu turut menyaksikan Petronas menamatkan kerjasama dengan pihak Petronas Sprinta Racing Team (PSRT) dalam saingan Moto2 dan Moto3 sejak 2018 lalu sebelum kerjasama itu berkembang hingga ke saingan MotoGP.

Sementara itu, pada kenyataan media berkenaan, pihak KBS menegaskan akan terus memberikan sokongan kepada SIC.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan media itu lagi, sokongan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada bantuan kewangan, tetapi lebih kepada penambahbaikan pembangunan dan perancangan masa depan.

“Sokongan daripada KBS dalam usaha ini tidak pernah terhenti. Adalah menjadi harapan KBS dan SIC supaya Malaysia dapat melahirkan lebih ramai bakat-bakat sukan permotoran tanah air yang kompetitif untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pada ketika ini,pelumba-pelumba negara masih memberikan tumpuan penuh kepada baki perlumbaan untuk musim ini dan KBS menyeru supaya rakyat Malaysia terus memberikan sokongan yang padu kepada pelumba-pelumba negara kita untuk kekal fokus dan dapat memberikan yang terbaik dalam kejohanan yang disertai.

“Secara keseluruhannya, KBS tetap menghormati keputusan ini dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Petronas atas kerjasama dan sokongan padu yang telah diberikan selama ini terhadap pembangunan sukan permotoran tanah air selain percaya bahawa kerjasama strategik bersama Petronas masih boleh diadakan semula suatu masa kelak,” menurut kenyataan media itu lagi.