Syed Saddiq usah retorik tawaran Muhyiddin: Faiz Na'aman

Muhammad Faiz
Muhammad Faiz
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman menegur Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak beretorik dengan tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, ia kerana tawaran yang dikemukakan oleh Perdana Menteri pada Jumaat dilihat bukan untuk kerajaan atau pembangkang, tetapi demi negara dan rakyat yang belum bersedia hadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dalam waktu terdekat sekiranya kerajaan kini tumbang.

"Cuba beritahu sebelum kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini muncul, kerajaan Malaysia mana yang pernah menawarkan peruntukan tahunan kepada ahli Parlimen pembangkang setara dengan apa yang diperoleh ahli Parlimen kerajaan? Pernah dengar orang putih kata 'better late than never'?

"Masalah dengan sikap pembangkang yang mengada-ngada ini ialah jika mereka tidak ditolong, maka dituduhnya kerajaan ini zalim, digunanya modal kononnya bantuan untuk rakyat disekat pula, tetapi apabila kerajaan hulur tawaran, dituduhnya pula berhelah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurut beliau, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Dalam hantaran yang sama, beliau turut menyelar tindakan Syed Saddiq yang tidak mahu bersuara mengenai undang-undang lompat parti yang merupakan salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan untuk menghadapi PRU14.

"Kenapa pula rasa pelik apabila kerajaan PN sekarang menawarkan cadangan tersebut?

Artikel Berkaitan:

"Sepertimana DAP yang sering melaung-laungkan anti rasuah tetapi hakikatnya ketua mereka sendiri pun sedang dibicarakan kerana beli banglo bawah harga pasaran. Pelik tak?" soalnya.

Jelasnya, tawaran Perdana Menteri cukup ringkas dan mudah difahami di waktu bencana global ini kita menghadapi musuh negara yang sama iaitu Covid-19.

"Apakah salahnya jika kita bersatu terlebih dahulu bantu mempersenjatai rakyat dengan vaksin bagi menentang wabak itu?

"Apakah salahnya redakan dulu tuntutan gila kuasa berpolitik mahu menjatuhkan kerajaan di waktu rakyat sedang ramai susah dan ekonomi tidak stabil seluruh dunia sekarang ini?

"Tidak larilah PRU hendak dikejar. Perdana Menteri telah bertekad mahu PRU selewat-lewatnya Julai tahun depan. Ada otak fikirlah," katanya.