Arwah Ehsan tak sempat sambut kelahiran anak sulung

Hasrat Kopral U Mohamad Ehsan Sehamat untuk mengadakan majlis kesyukuran buat bakal anak sulung dan rumah baharunya tidak kesampaian.
Hasrat Kopral U Mohamad Ehsan Sehamat untuk mengadakan majlis kesyukuran buat bakal anak sulung dan rumah baharunya tidak kesampaian.
A
A
A

KUCHING - Hasrat Kopral U Mohamad Ehsan Sehamat untuk mengadakan majlis kesyukuran buat bakal anak sulung dan rumah baharunya tidak kesampaian, apabila malang menimpa beliau awal pagi Jumaat.

Mohamad Ehsan merupakan antara empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban, dalam insiden tembak pada jam 7.15 pagi Jumaat di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching.

“Arwah pernah memberitahu bahawa selepas isterinya bersalin dia akan mengadakan majlis selamat buat rumah baharu dan anaknya sekali, tapi tidak sempat.

“Rumahnya di Kampung Asajaya masih dalam pembinaan, lantai sudah siap cuma kini perlu pasang bata sahaja,” kata ibu Arwah Fatimah Narawi, ketika ditemui pemberita di rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, pada Sabtu.

Allahyarham Mohamad Ehsan merupakan anak keenam daripada 10 adik-beradik.

Selain Mohamad Ehsan, turut terkorban dalam insiden itu ialah Laskar Udara (LU) Nesly Anak Nabau, Kopral U Ho Swee Boon dan Kopral U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli.

Sementara itu, isteri arwah, Nur Atiqah Supyie, 29, yang mengandung enam bulan berkata, mereka telah bernikah pada November tahun lalu dan sangat teruja menanti kelahiran anak sulung mereka.

Nur Atiqah berkata, beliau meredai pemergian arwah suaminya dan berharap proses bedah siasat dan pengebumian suaminya dipercepatkan.

Artikel Berkaitan:

Pihak Bernama yang berada di HUS turut dimaklumkan oleh pihak TUDM bahawa, proses membawa keluar kempat-empat jenazah akan mengambil masa yang lama, kerana ia melibatkan kes jenayah.

Difahamkan persiapan pengebumian arwah Mohamad Ehsan juga sedang dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Asajaya Laut. - Bernama