Lapor jika beli oximeter tiruan: KPDNHEP

Rosol (dua dari kiri) mengagihkan bendera dan bertanya khabar penduduk yang hadir menerima vaksin di SK Tanggol pada Sabtu.
Rosol (dua dari kiri) mengagihkan bendera dan bertanya khabar penduduk yang hadir menerima vaksin di SK Tanggol pada Sabtu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) belum menerima laporan tentang penjualan alat pengukur kadar oksigen iaitu oximeter tiruan dalam pasaran.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid meminta orang ramai segera membuat laporan rasmi kepada pihaknya sekiranya ada terbeli alat pengukur disyaki tiruan atau palsu.

Menurut beliau, secara asasnya penjualan alat kesihatan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun KPDNHEP boleh mengambil tindakan apabila ia dijual dengan harga tinggi dan tiruan.

"Bila ada laporan, kita akan siasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2009 sekiranya alat dijual menggunakan cap dagang berdaftar yang palsu dan Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011 kerana harga melampau.

"Jadi kita minta jika ada maklumat, buat laporan kepada kita untuk jalankan siasatan tapi perlu maklumat lengkap termasuk resit pembelian bagi memudahkan kita mengambil tindakan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Outreach di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanggol, Kuala Berang di sini pada Sabtu.

Pada program itu, seramai 1,500 penduduk sekitar hadir menerima vaksin dos pertama dan outreach tersebut merupakan yang kelapan di Hulu Terengganu.

Dalam kunjungan itu, Rosol turut mengambil peluang mengagihkan bendera Malaysia kepada orang ramai yang hadir menerima vaksin sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Artikel Berkaitan:

Rosol berkata, isu penjualan alatan kesihatan tiruan adalah perkara serius dan KPDNHEP akan bertindak tegas sekiranya wujud aktiviti seumpama itu bagi memastikan pengguna tidak mudah tertipu.

"Jualan alat kesihatan palsu boleh memberi kesan jangka panjang kepada pengguna jadi kita mahu elak daripada berlaku demi kepentingan pengguna," katanya.