X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Pekerja am Alam Flora maut terperosok bawah treler

Seorang pekerja am Alam Flora meninggal dunia dalam satu kemalangan pada Jumaat malam.
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja am Alam Flora maut setelah motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum terperosok ke bawah treler di Jalan Permatang Badak di sini pada Jumaat malam.

Mangsa, Amiruddin Abdul Latif,17, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala pemandu treler berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian jam 11.10 malam itu, mangsa dikatakan dari arah Jalan Kuantan Bypass menghala ke Sungai Isap, namun sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal ditungganginya terbabas secara tiba-tiba.

"Berdasarkan keterangan saksi di lokasi kejadian, mangsa dikatakan telah melalui jalan yang ditutup bagi kerja pembaikan di sebelah kiri laluan dan terbabas di sebelah kanan jalan yang sedang dilalui treler sebelum terperosok masuk ke bawah kenderaan terbabit.

"Pemandu treler itu hanya menyedari mangsa terjatuh selepas dimaklumkan oleh pekerja Roadcare yang berada di tepi laluan dalam pembaikan tersebut," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau menambah, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikalnya.

Jelasnya, malah, mangsa juga didakwa tidak mengikut tanda lalu lintas di kawasan jalan dalam pembaikan itu.

Sehubungan itu, Mohd Noor berkata, pihaknya sedang mengesan majikan pemandu treler terbabit bagi membantu siasatan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!