AMK lapor SPRM, gesa siasat tawaran Muhyiddin

Ucapan khas Perdana Menteri pada Jumaat.
Ucapan khas Perdana Menteri pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara terbuka berhubung isu tawaran yang diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam kenyataan bersama Pengerusi Biro Guaman dan Undang-Undang AMK, Chiew Choon Man berkata, laporan tersebut dibuat agar siasatan dapat dijalankan ke atas Muhyiddin kerana mendakwa tindakan itu mempunyai unsur sogokan.

“Setelah meneliti ucapan khas Muhyiddin semalam, AMK mendapati bahawa ucapan tersebut mengandungi unsur-unsur yang sesungguhnya bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan.

“Ini secara tidak langsung memberi impak negatif kepada kedaulatan undang-undang dan menjejaskan kewibawaan institusi kerajaan di negara kita,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin tawar kerjasama merentas parti

Mengulas lanjut AMK berkata, dalam ucapan itu juga, Muhyiddin jelas mengakui beliau telah hilang kepercayaan majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Justeru, menurut kenyataan itu, berdasarkan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan jemaah menteri jika tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Bagaimanapun, daripada meletakkan jawatan, beliau (Muhyiddin) dalam ucapan telah membuat pelbagai tawaran yang berbentuk sogokan kepada seluruh ahli Dewan Rakyat bagi mendapat sokongan mereka untuk membolehkan beliau kekal menjadi Perdana Menteri,” dakwa AMK.

Sehubungan itu, AMK mendakwa Muhyiddin telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta SPRM.

“Antaranya ialah menawarkan suapan kepada seseorang pegawai badan awam sebagai dorongan agar pegawai itu mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana mesyuarat badan awam.

“Ini bertujuan bagi menyokong atau menentang apa-apa langkah, ketetapan atau soal yang dikemukakan kepada badan awam itu,” kata kenyataan itu memetik laporan di bawah Seksyen 21 Penyogokan Pegawai Badan Awam.