Armada seru semua pihak sambut tawaran PM

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Tawaran kerjasama rentas parti dilihat amat komprehensif, inklusif, adil dan saksama kepada semua pihak, sekali gus menepati keperluan semasa negara.

Ketua Armada Nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerjasama ini amat penting dalam menyelesaikan masalah struktural negara yang memerlukan penambahbaikan segera, dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

“Situasi semasa yang begitu getir sehingga mengancam kesihatan dan nyawa orang ramai hanya akan bertambah membarah jika sebuah pertikaian politik baharu sekali lagi menjerumuskan negara ke dalam krisis perlembagaan yang tidak berkesudahan.

“Dengan tiadanya hala tuju yang jelas daripada aktor-aktor politik lain, Armada Bersatu mengalu-alukan tawaran berjiwa besar yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada semua parti politik dan wakil rakyat.

“Jika menjadi kenyataan, tiada lagi gelaran ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang malah, semua ahli-ahli Yang Berhormat akan menjadi 'wakil rakyat' dalam erti kata sebenar istilah itu tanpa mengira pegangan ideologi atau keahlian parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Wan Ahmad Fayhsal, tawaran itu juga selari dengan pendekatan 'whole of nation', yang mana pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pengukuhan peranan Parlimen yang dicadangkan juga akan memperkasa institusi demokrasi.

Ia sekali gus menjadikan mekanisme semak dan imbang lebih ampuh serta menjamin agar korupsi dan kleptokrasi tidak lagi menjadi ancaman pada masa hadapan.

Selain itu, pelaksanaan Undi 18 akan membolehkan lebih ramai anak muda mengambil bahagian dalam tatanegara.

Artikel Berkaitan:

“Armada Bersatu menyeru semua pihak terutamanya Ahli-ahli Dewan Rakyat agar meletakkan tugas patriotik mereka di tempat yang berhak, serta sama-sama menyambut tawaran ini demi kesejahteraan negara dan masa depan yang lebih terjamin untuk semua,” ujarnya.