Anggota bomba terkejut rumah mentua terbakar

Kebakaran memusnahkan dua rumah di Manjoi pada Jumaat. Foto: Ihsan Pembaca
Kebakaran memusnahkan dua rumah di Manjoi pada Jumaat. Foto: Ihsan Pembaca
A
A
A

IPOH - Seorang anggota bomba tergamam apabila panggilan kecemasan yang diterima ketika bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya di sini rupa-rupanya melibatkan kebakaran rumah keluarga mentuanya.

Kejadian pada jam 11.53 pagi itu turut melibatkan sebuah lagi rumah di Jalan Serindit, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di sini pada Jumaat.

Muhammad Saffri Nasaruddin, 32, berkata, sebaik terima panggilan daripada adik iparnya itu, dia terus menyertai pasukannya bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemadaman.

"Setibanya di tempat kejadian, saya terus mencari dua anak saya berusia tujuh dan empat tahun. Saya berasa lega apabila adik ipar saya berjaya bawa keluar anak-anak saya ke tempat selamat.

"Setelah memastikan kesemua ahli keluarga termasuk ayah mentua dan adik-adik ipar selamat, saya terus membantu ahli pasukan melakukan pemadaman," katanya.

Mangsa, Mohd Elan Hamid, 55, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terbau asap dan terlihat api yang bermula di bahagian ruang tamu rumahnya.

"Ketika itu saya sedang membuat persiapan untuk berniaga ayam goreng di tepi jalan pada waktu petang. Selepas terlihat api makin marak, saya cuba padam dengan menggunakan air tetapi tidak berjaya.

Mohd Elan (kiri) memeriksa rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Manjoi pada Jumaat.
Mohd Elan (kiri) memeriksa rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Manjoi pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Saya sempat selamatkan lori niaga dan kereta manakala yang lain-lain musnah terbakar. Saya reda dengan kejadian ini dan kami menyewa inap desa untuk tinggal sementara waktu," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari BBP Meru Raya, Mohamad Kosaidi Mohd Saat berkata, sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian melibatkan dua rumah.

"Anggota mengalami kekangan apabila pili bomba berada jauh dan tekanan air yang rendah. Bagaimanapun, api kebakaran dapat dikawal dalam masa 30 minit.

"Kejadian itu menyebabkan rumah pertama musnah 80 peratus manakala rumah bersebelahan musnah 70 peratus," katanya.

Katanya, operasi pemadaman turut dibantu 13 anggota dari BBP Pasir Puteh dan Simpang Pulai serta 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Bharu dan Menglembu.