Perjanjian konsesi antara kerajaan, IWK dilanjut hingga 2034

Zaini Ujang (kiri) dan Narendran Maniam (dua daripada kanan) selesai menandatangi Perjanjian Tambahan Kepada Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Malaysia dan IWK, pada Khamis.
Zaini Ujang (kiri) dan Narendran Maniam (dua daripada kanan) selesai menandatangi Perjanjian Tambahan Kepada Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Malaysia dan IWK, pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Perjanjian konsesi antara kerajaan dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd sebagai syarikat konsesi perkhidmatan pembentungan nasional dilanjutkan sehingga 31 Disember 2034.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, IWK sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab menyelenggara sistem pembetungan awam seluruh negara.

“IWK telah melaksanakan tugas tersebut sejak 28 tahun lalu melalui perjanjian konsesi yang ditandatangani pada 1 April 1994 dan akan tamat pada 31 Mac 2022.

“Pelanjutan ini memberi peluang IWK meneroka potensi dan aktiviti perniagaan bukan berasaskan tarif berkaitan perkhidmatan pembetungan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Kepada Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Malaysia dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam secara maya, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, IWK diberi tanggungjawab menguruskan aset utama sistem pembetungan melibatkan lebih 7,000 loji rawatan kumbahan dan menyelenggara paip pembetungan sepanjang 22,000 kilometer.

“Selain itu, IWK diminta menyelenggara kira-kira 1.3 juta tangki septik individu dan lebih daripada 800,000 tangki tandas tradisional dan jumlah tersebut meningkat hampir 10 kali ganda berbanding konsesi awal,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tuan Ibrahim ketika berucap semasa Majlis Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Kepada Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Malaysia dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd secara maya, pada Khamis.
Tuan Ibrahim ketika berucap semasa Majlis Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Kepada Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Malaysia dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd secara maya, pada Khamis.

Tambah Tuan Ibrahim, sejak mula operasi tarikh perkhidmatan pembetungan kepada pengguna masih kekal sama dan tidak pernah disemak semula.

“Realitinya, purata kos penyelenggaraan sistem pembetungan bagi setiap premis bersambung kira-kira RM17 sebulan berbanding tarif semasa iaitu RM2 hingga RM8 sebulan.

“Berdasarkan kajian, semakan tarif perkhidmatan pembetungan wajar dipertimbangkan secara teliti bagi mengimbangi kos penyelenggaraan aset yang lama, peningkatan tarif elektrik dan kemudahan ancaman baharu jenayah alam sekitar yang lebih rencam,” ujarnya.

Menurutnya, perjanjian tambahan yang ditandatangani turut merangkumi pelaksanaan aktiviti perniagaan yang bukan teras dan bukan berasaskan tarif IWK.

“Contohnya, penghasilan air pulih guna daripada bi-produk pembetungan supaya dapat dibekalkan kepada industri sebagai sumber air alternatif dan menjadi pencapaian baharu dalam model ekonomi kitaran negara.

“IWK dengan kerjasama pemain industri air yang lain akan memulakan inisiatif air pulih guna di Selangor diikuti beberapa negeri lain.

“Pindaan perjanjian ini membolehkan IWK meneroka pelbagai potensi perniagaan lain berkaitan perkhidmatan pembetungan seperti penggunaan baja tumbuhan dan pajakan kecil tanah pembetungan untuk sewaan kepada menara telekomunikasi, penghasilan tenaga solar atau kabel fiber optik,” jelasnya.