Rinduilah untuk melangkah ke syurga

No Image Caption
A
A
A

APA tujuan kita beribadah? Adakah selama berpuluh tahun kita beribadah, sudah cukup untuk meraih syurga ALLAH SWT? Mengapa ALLAH SWT memberi gambaran syurga kepada orang-orang beriman?

Segala persoalan ini dirungkai dalam perkongsian ilmu Sesi Bedah Buku Masuk Syurga Sekeluarga ke-8 bertajuk Dahsyatnya Keindahan Syurga yang disampaikan Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein.

Beliau mengupas Bab 2 dalam sesi Bedah Buku 'Masuk Syurga Sekeluarga', tulisan pendakwah Indonesia, Ustaz KH Bachtiar Nasir. Progam tersebut dianjurkan Rumah Ngaji@Laman 83 di Stesen 83, Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.

ALLAH SWT berfirman: “Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh bahawa (disediakan) untuk mereka syurga yang bawahnya mengalir sungai-sungai. Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dari syurga, mereka berkata, “Inilah rezeki yang diberikan kepada kami dahulu.” Mereka telah diberi (buah -buahan yang sama. Dan di sana mereka (memperoleh) pasangan-pasangan yang suci. Mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah: 25)

Safri berkata, ayat tersebut mempunyai beberapa perkara yang ALLAH sampaikan kepada kita. Pertama, ALLAH SWT menyampaikan khabar gembira iaitu syurga bagi orang yang beriman dan beramal soleh.

Safri (dua, kanan) bersama peserta program.
Safri (dua, kanan) bersama peserta program.

“Apabila kita mencintai ALLAH, apakah buktinya? Oleh itu, bukti keimanan kita kepada ALLAH dengan beramal soleh. ALLAH menggambarkan kehebatan syurga dalam al-Quran agar kita menginginkan dan merindukan untuk ke sana.

Artikel Berkaitan:

“Tanya kepada diri kita, berapa peratus hati kita mencintai dan merindui syurga ALLAH SWT? Kita hendaklah memasukkan bayangan keindahan syurga ke dalam minda dan hati kita agar menjadi motivasi untuk kita meningkatkan ibadah kepada ALLAH SWT," ujar beliau.

Menurut Safri lagi, ketika Rasulullah SAW melihat 313 sahabat ahli Badar yang keletihan walaupun mempunyai keimanan yang kuat terhadap ALLAH SWT, lalu Baginda SAW mengangkat motivasi mereka sehingga menang dalam peperangan.

Rasulullah SAW bersabda: “Demi Tuhan yang jiwaku di dalam genggaman-Nya, sesiapa yang memerangi mereka (tentera orang musyrik) pada hari ini, kemudian dia terbunuh dalam keadaan penuh kesabaran dan ikhlas, terus maju dan tidak lari dari medan pertempuran, pasti ALLAH akan memasukkannya ke dalam syurga.”

Ternyata syurga menjadi dambaan ahli Perang Badar dan menyebabkan perjuangan mereka makin hebat. Kata Safri, tiket paling utama untuk masuk syurga adalah mati dalam jihad fisabilillah. Tetapi umat manusia akhir zaman yang penuh materialistik lebih takut kepada kematian.

“Rasulullah SAW menyebut dalam hati kita ada penyakit hati yang disebut al-wahn iaitu cinta dunia dan takut mati. Para sahabat dahulu apabila disebut perang, mereka awal-awal sudah keluar. Bayangan mereka adalah syurga yang disediakan oleh ALLAH SWT,” katanya.

Terdapat banyak ayat al-Quran menceritakan keindahan syurga seperti Surah As-Saffat ayat 50-61, Surah At-tur ayat 17-28, Surah Maryam ayat 63, Surah Az-Zukhruf ayat 70-71.

Antara ciri-ciri syurga yang disebut dalam al-Quran adalah tinggal selama-lamanya, menyediakan sungai-sungai yang mengalir di bawah syurga, ahli syurga diberi nikmat buah-buahan, bertemu dan bersembang antara satu sama lain, isteri yang suci dan bersih serta bidadari syurga.

Semoga dengan mengharapkan syurga ALLAH yang indah dan hebat, bertambahlah semangat untuk kita meningkatkan keimanan, ketakwaan dan amal ibadah kita. Jadikan al-Quran sebagai panduan hidup untuk sampai ke syurga.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.facebook.com/savingfamilies2017/.