Presiden Pas perlu ajak Amanah, Pejuang bersama dalam penyatuan

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Yussof (Kiri)
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Yussof (Kiri)
A
A
A

GEORGETOWN - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu bersikap lebih terbuka dengan mengajak semua parti-parti politik yang berteraskan lslam dan Melayu untuk bersatu sempena mengambil semangat Hijrah.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, semua pihak seharusnya menyambut baik saranan itu agar tiga parti teras Melayu-lslam dan Bumiputera di negara ini iaitu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat disatukan dengan mengambil semangat dan pendekatan acuan hijrah zaman Nabi Muhammad SAW.

Yussof berkata, bagaimanapun, Abdul Hadi juga harus mengajak dua lagi parti berteraskan Melayu-lslam iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta tidak harus mengenepikan mana-mana parti orang Melayu-lslam atas semangat hijrah itu.

"Parti berteraskan orang Melayu di negara ini bukan hanya UMNO, Pas dan Bersatu sahaja, malah terdapat juga dua lagi parti baharu yang berteraskan orang Melayu-lslam iaitu Pejuang dan Amanah," katanya di sini pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tiga parti perlu disatukan'

Beliau berkata, namun Bersatu kini bukan lagi dianggap parti Melayu kerana telah meminda perlembagaannya bagi menubuhkan sayap ahli bersekutu dan sedang menuju ke arah menjadi parti pelbagai kaum dan ia tidak lagi menjadi parti Melayu-lslam.

Tambahnya, Abdul Hadi mungkin terlepas pandang perkara itu dan harus mengkaji semula hubungannya dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan seruan Abdul Hadi berhubung penyatuan tiga parti itu yang disifatkan penting bagi memimpin perubahan dengan Muafakat Nasional (MN), disertakan pendekatan masyarakat majmuk dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penubuhan PN ini boleh membawa prinsip yang anjal bagi melakukan perubahan yang positif kepada negara.

Yussof berkata, apa yang terbaik sebenarnya ialah Abdul Hadi harus lebih fokus untuk memperkukuhkan MN bagi memperincikan persiapan menghadapi PRU15 akan datang termasuk isu agihan kerusi.

"Soalannya sekarang ialah pada PRU ke-15 ini, siapa yang akan mengorbankan kerusi atau adakah semua parti bebas bertanding di kawasan yang sama dan adalah lebih baik perkara ini menjadi perbincangan dalam MN mulai sekarang," katanya.