Kadar kelahiran di Malaysia menurun, kematian meningkat

A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kelahiran hidup di negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 4.4 peratus, iaitu 111,573 kelahiran pada suku kedua tahun ini, berbanding suku kedua 2020 sebanyak 116,688 kelahiran.

Ia berdasarkan laporan berkaitan Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Rabu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin memaklumkan, berdasarkan data, jumlah kelahiran bayi perempuan melebihi bayi lelaki iaitu 55,881 kelahiran berbanding bayi lelaki iaitu 55,692 kelahiran.

“Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,389 kelahiran atau 18.3 peratus, manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan dengan 390 kelahiran atau 0.3 peratus.

“Dijangkakan berlaku peningkatan mendadak kepada bilangan kelahiran susulan daripada perintah kawalan pergerakan semasa Covid-19 tetapi statistik menunjukkan sebaliknya. Penurunan bilangan kelahiran ini adalah selari dengan negara lain seperti di Amerika Syarikat, Korea Selatan, United Kingdom, Perancis dan Sepanyol,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 44,307 kematian direkodkan pada suku tahun kedua 2021, meningkat 10.1 peratus berbanding suku tahun kedua 2020 iaitu 40,241 kematian membabitkan 25,216 kematian lelaki manakala 19,091 lagi adalah perempuan.

Pada tempoh yang sama katanya, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,818 kematian atau 15.4 peratus manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 53 kematian atau 0.1 peratus.

“Sebanyak 3,898 kematian disebabkan oleh Covid-19 direkodkan daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun kedua 2021, meningkat daripada 78 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

“Data juga menunjukkan kematian tertinggi akibat Covid-19 dicatatkan oleh kumpulan umur 65-69 tahun dan diikuti kumpulan umur 70-74 tahun.

“Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat Covid-19 dengan 1,236 kematian manakala Putrajaya merekodkan kematian terendah iaitu hanya 4 kematian,” ujarnya.

Sementara itu Mohd Uzir berkata, pandemik Covid-19 tidak menjejaskan jangkaan hayat ketika lahir di Malaysia dengan jangkaan hayat bagi bayi yang lahir pada tahun 2021 secara puratanya dijangka boleh hidup mencecah umur 75.6 tahun, 1.3 tahun lebih lama berbanding sedekad lalu, 74.3 tahun (2011).

Katanya, perbandingan mengikut jantina menunjukkan secara purata bayi perempuan hidup lebih lama berbanding bayi lelaki dengan peningkatan jangkaan hayat 0.5 tahun berbanding lelaki, 0.4 tahun bagi tempoh 2011 hingga 2021.

“Berdasarkan jurnal bertajuk ‘Assessing the potential impact of COVID-19 on life expectancy’ oleh Guillaume Marois, Raya Muttarak and Sergei Scherbov, sekiranya kadar prevalensi kematian Covid-19 berada di bawah 1 atau 2 peratus, penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia tidak akan mempengaruhi jangkaan hayat secara signifikan.

“Kajian juga mendapati, sekiranya kadar prevalensi berada pada 10 peratus, terdapat penurunan jangkaan hayat ketika lahir melebihi satu tahun bagi Amerika Utara, Eropah, Amerika Latin dan Caribbean," jelasnya.

Beliau berkata, bagi negara Asia Tenggara dan Afrika sub-Sahara, sekiranya kadar prevalensi kematian Covid-19 berada pada masing-masing 15 peratus dan 25 peratus, terdapat penurunan jangkaan hayat ketika lahir satu tahun.

“Bagaimanapun, bagi tempoh Julai 2020 hingga Jun 2021, Malaysia mencatatkan kadar prevalensi kematian Covid-19 yang masih rendah iaitu 0.02 peratus,” jelasnya.