Pemangku Ketua AMK Gombak letak jawatan, jawatankuasa distruktur semula

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GOMBAK - Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muadzam Mohamed Shariff dicalonkan sebagai pemangku Ketua AMK Gombak baharu menggantikan Arie Yudhistira Ishaq Arifin Fadli yang melepaskan jawatan itu pada Selasa.

Pemangku Setiausaha AMK Gombak, Khairul Anwar Rosnan berkata, keputusan itu dibuat dengan suara majoriti oleh Jawatankuasa AMK Gombak menerusi mesyuarat khas yang diadakan pada hari sama.

Menurut beliau, Jawatankuasa AMK Gombak menghormati dan bersetuju menerima pelepasan jawatan yang dikemukakan oleh Arie Yudistira serta telah membincangkan hala tuju AMK dan mencadangkan penggantinya.

"Ahli Jawatankuasa AMK Gombak telah mendengar penerangan secara terperinci berkenaan pelepasan jawatan Arie Yudistira di atas komitmen dan tanggungjawab peribadi yang tinggi.

"Beliau bersetuju untuk kembali semula ke jawatan Naib Ketua AMK Gombak yang dimenangi beliau pada pemilihan yang lalu," menurut kenyataan pada Rabu.

Khairul Anwar berkata, Jawatankuasa AMK Gombak melalui Setiausaha AMK Gombak akan mengutuskan surat kepada Ketua AMK Selangor berkenaan perkembangan tersebut untuk tindakan Majlis Pimpinan AMK Pusat mengikut peraturan tetap AMK Malaysia.

"Perubahan ini hanya melibatkan penstrukturan semula dan tidak wujud kemelut atau rampasan jawatan.

"Mesyuarat khas berlangsung dengan penuh permuafakatan, harmoni dan semangat setia kawan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selasa lalu, Arie Yudhistira menghantar surat peletakan jawatannya kepada Setiausaha PKR Cabang Gombak disebabkan komitmen peribadi terhadap keluarga selain mengambil kira cabaran semakin dahsyat dalam kancah politik semasa yang hampir dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

"Dengan ini, saya tidak mampu menggalas jawatan tersebut serta ingin memberi peluang tersebut kepada individu layak untuk mengambil alih tanggungjawab tersebut," katanya dalam surat peletakan jawatan yang turut diedarkan dalam aplikasi WhatsApp pada Selasa.