Gabungan NGO Malaysia gesa Arab Saudi bebaskan pejuang Palestin

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyeru pemimpin Arab Saudi agar membebaskan pejuang-pejuang pembebasan Palestin dan membatalkan hukuman terhadap mereka pada kadar segera.

Gabungan NGO Malaysia dalam kenyataan berkata, tindakan memenjarakan pejuang Palestin untuk memuaskan kehendak rejim Zionis Israel, Amerika Syarikat dan sekutunya akan hanya menimbulkan kebencian terhadap pemimpin Arab Saudi dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

"Kami, NGO Malaysia yang tersenarai di bawah ingin menyuarakan perasaan sedih di atas laporan berita berkenaan hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas puluhan warga Palestin oleh kerajaan Arab Saudi.

"Kami dimaklumkan bahawa asas utama hukuman adalah aktiviti mereka menyokong gerakan pembebasan Palestin, khususnya kumpulan Hamas.

"Kami juga ingin menegaskan bahawa walaupun Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengklasifikasikan Hamas sebagai gerakan pengganas kerana keengganan Hamas untuk berkompromi dengan rejim zalim zionis Israel, namun hakikat sebenar ialah Hamas adalah sebuah gerakan pembebasan Palestin yang tulen yang mendapat sokongan dari umat Islam di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan bersama itu pada Rabu.

Dalam pada itu, pihaknya turut menyeru pihak kerajaan supaya memberi tekanan kepada pemimpin Arab Saudi supaya mereka sedar bahawa rakyat Malaysia menentang segala bentuk kezaliman terhadap warga Palestin.

"Lebih-lebih lagi mereka yang sedang berjuang dengan harta dan nyawa untuk membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al Aqsa daripada genggaman rejim zalim Zionis," katanya.

Gabungan NGO terbabit terdiri daripada Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia; Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS); Pertubuhan al-Nur Negeri Kelantan (al-Nur); Pertubuhan Mawaddah Malaysia; Yayasan Usman Awang; Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram);

Artikel Berkaitan:

Persatuan Akademia IKRAM Malaysia; Citizens International; Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); Global Peace Mission Malaysia (GPM); Cendekiawan Negara dan Yayasan Atfal Jannah.

NGO lain yang turut menggesa saranan sama termasuklah Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (TERATAI); Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM); SEJAGAT; Muslim Care Malaysia; Cakna Palestin; Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM);

Viva Palestina Malaysia (VPM); Humanitarian Care Malaysia (MyCARE); Alfitrah Foundation; Malaysian Women's Coalition for AlQuds & Palestine (MWCQP); MediCOM Malaysia; Persatuan Komuniti Islam Setia Alam U13 (PERSALAM); Rose2Rose; Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan (HALUAN) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).