TNB tawar dermasiswa MYBF kepada 2,500 pelajar B40

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

SHAH ALAM- Syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) tanpa ikatan kepada 2,500 pelajar daripada golongan B40 pada tahun ini.

Ia merupakan sebahagian daripada tajaan pendidikan oleh TNB melalui Yayasan Tenaga Nasional (YTN).

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, YTN juga sedang mengenal pasti calon-calon tajaan biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah.

"Pandemik Covid-19 yang terus memberi kesan kepada semua sektor ekonomi bukan penghalang untuk TNB meneruskan tajaan

dermasiswa, biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah TNB menerusi YTN.

"TNB akan terus komited meneruskan tajaan untuk pelajar melanjutkan pendidikan mereka bagi menyokong usaha meningkatkan modal insan negara, selain membantu pelajar dari keluarga B40 keluar dari kepompong kemiskinan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Mahdzir, TNB terpanggil untuk meneruskan tajaan, terutama Dermasiswa MyBF kepada pelajar dari keluarga susah melanjutkan pengajian mereka di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), lebih-lebih lagi dalan suasana pandemik Covid-19 yang masih berlanjutan.

Dermasiswa MyBF katanya, diberikan kepada pelajar tanpa permohonan dan proses temu duga, malah tiada bayaran balik.

Artikel Berkaitan:

"Calon yang layak dipilih daripada pengkalan data Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA – UPU Online dengan padanan dibuat dengan keluarga yang tersenarai dalam sistem Bank Data Kemiskinan Nasional, eKasih.

“Seramai 2,500 lagi pelajar akan menerima tajaan dermasiswa MyBF pada tahun ini dengan jumlah tajaan tahunan setiap seorang di peringkat ijazah pertama adalah berjumlah RM10,000, diploma RM9,000 dan sijil pula, RM6,600,” ujarnya.

Dermasiswa MyBF adalah kerjasama TNB dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) untuk menyelaras dan mengenal pasti calon layak daripada keluarga berpendapatan rendah dengan membantu pelajar di tujuh universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih.

Antaranya termasuklah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Jelas Mahdzir, sejak diperkenalkan pada 2018, lebih 5,000 pelajar telah pun menerima manfaat MyBF sehingga tahun 2020 menerusi YTN dengan TNB memperuntukkan sebanyak RM66 juta.

YTN yang ditubuhkan pada 1993 telah pun membelanjakan lebih RM1.2 bilion melibatkan peruntukan dermasiswa MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar.

“Biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah dikhususkan untuk pelajar cemerlang dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan pengajian bisnes. YTN ketika ini juga sedang mengenalpasti calon-calon pelajar yang berkelayakan bagi kedua-dua bentuk tajaan ini,” tambahnya.

Mahdzir menjelaskan, selain YTN, TNB turut membantu pelajar di peringkat pendididkan tinggi menerusi Yayasan Canselor UNITEN (YCU), khusus untuk pelajar-pelajar di Universiti Tenaga Nasional.

Pada tahun ini katanya, YCU menyumbang lebih RM772,000 bagi pembiayaan pelbagai program melibatkan, antaranya pembelajaran secara maya (virtual learning), penyelidikan pasca Covid-19 dan program sekolah angkat.