Wanita rugi RM105,523 ditipu kenalan dari Palembang

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN- Seorang peniaga wanita dari Felda Serting Hilir, Jempol mengalami kerugian RM105,523 selepas diperdaya seorang lelaki yang dikenalinya menerusi Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa berusia 36 tahun itu mula berkenalan dengan lelaki dikenali sebagai 'KA Agus' yang merupakan lelaki Melayu warga Indonesia dan menetap di Palembang, Indonesia pada hujung tahun 2018.

"Pada awalnya mereka hanya berinteraksi di Facebook Messenger sebelum berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Selepas itu lelaki berkenaan meminta wang daripada mangsa untuk membantu masalah kewangan yang dihadapinya.

"Bagaimanapun, lelaki berkenaan sering meminta wang bagi menyelesaikan masalah keluarganya selain memberitahu kesemua wang yang dipinjam akan dibayar semula kepada mangsa setelah menjual tanahnya di Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut Aibee berkata, atas dasar percaya, wanita berkenaan telah mengirimkan wang kepada lelaki itu secara berperingkat ke 19 akaun yang berbeza bermula pada 31 Ogos 2019.

"Jumlah transaksi kiriman wang kepada lelaki berkenaan sejak tahun 2019 adalah sebanyak 37 kali transaksi dengan melibatkan jumlah wang keseluruhan sebanyak RM105,523.

"Cara pengiriman wang kepada lelaki berkenaan mengguna pakai ejen-ejen kiriman wang yang ada di sekitar Bahau dengan melakukan transaksi wang menerusi akaun bank seperti Bank Central Asia, Bank Rakyat Indonesia dan Bank Mandiri Indonesia," katanya.

Aibee berkata, menyedari ditipu, mangsa bertindak membuat laporan polis pada Isnin lepas (9 Ogos) dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: