Gaza separa tenang selepas perang

Sidang video yang diadakan bersama rakyat Malaysia tunggal di Semenanjung Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri pada petang Selasa.
Sidang video yang diadakan bersama rakyat Malaysia tunggal di Semenanjung Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri pada petang Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Gaza kini berada dalam keadaan separa tenang selepas bebas daripada ketegangan 11 hari, baru-baru ini angkara Zionis selain faktor negara haram Israel itu yang mendapat Perdana Menteri baharu dua bulan lalu.

Rakyat Malaysia tunggal di Semenanjung Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, kedua-dua pihak sama ada Israel mahupun Gaza ketika ini dijangkakan 'tidak berminat' untuk berperang.

“Gaza dalam keadaan separa tenang, namun ada risiko berlaku perang pada bila-bila masa.

“Berdasarkan pemerhatian semasa, kedua-dua pihak tiada minat hendak adakan serangan baik Israel atau Gaza sendiri yang mencapai perkara diinginkan pada peperangan 11 hari sebelum ini,” katanya dalam satu sidang video sempena pelancaran platform Pengajian Islam secara maya BeDaie di Pasir Tumbuh di sini pada petang Selasa.

Sidang yang bermula pada jam 3 petang itu terhenti kerana bekalan elektrik terputus di Gaza dan disambung menerusi panggilan video melalui telefon bimbit Muhammad Nadir.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) berkata, melalui peperangan baru-baru ini, Gaza berjaya membuat dunia beralih arah dan melihat kebenaran serta menyokong Palestin sementara Israel pula digambarkan sebagai negara aparteid yang membunuh ramai kanak-kanak serta wanita.

“Izinkan saya menyampaikan salam kasih sayang dan perjuangan daripada rakyat Palestin di Gaza kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kami di Gaza mengharapkan solidariti berterusan kerana perjuangan di bumi Gaza dan Palestin ini benar-benar baru bermula setelah kejayaan yang ditempa dalam perang 11 hari sebelum ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Mac lalu, ribuan rakyat Israel menunjuk perasaan berdemonstrasi di Jerusalem dengan berarak di luar kediaman Benjamin Netanyahu, 71, yang ketika itu masih Perdana Menteri Israel.

Penunjuk perasaan berarak di jalan raya yang ditutup pihak berkuasa kepada lalu lintas dengan mereka mengibarkan bendera, memukul gendang, meniup alat muzik dan bernyanyi mendesak pemimpin konservatif itu berundur.

Netanyahu akhirnya berundur dari jawatan Perdana Menteri Israel selepas ahli Parlimen mengundi 60-59 untuk membentuk kerajaan baharu.

Pemimpin berhaluan kanan, Naftali Bennet dari Parti Yemina dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Israel bermula 13 Jun lalu.