Ketiadaan Tengku Azlan tidak jejaskan Bersatu

Tengku Azlan Sultan Abu Bakar
Tengku Azlan Sultan Abu Bakar
A
A
A

TEMERLOH - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Temerloh, Muhammad Faharuddin Hashim menegaskan dan mengesahkan beliau masih tetap bersama parti dan akan meneruskan agenda parti itu.

Beliau yang masih mengetuai Armada Bahagian Temerloh sehingga 2022 itu tampil memaklumkan perkara tersebut setelah namanya turut dikait akan mengikut jejak langkah.

Ketua Bahagian Bersatu Temerloh, Tengku Panglima Besar, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang meletak jawatan serta-merta pada Isnin dan mengumumkan kembali ke pangkuan UMNO.

Mengulas keputusan diambil Tengku Azlan itu, Muhammad Faharuddin berkata, beliau menghormati keputusan tersebut dan meraikan kebebasan demokrasi berperlembagaan negara ini dalam memilih kepercayaan politik masing-masing.

"Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dan kepimpinan bahagian ini menghargai serta berterima kasih di atas khidmat, sumbangan yang diberikan oleh Tengku Azlan terhadap Bersatu Bahagian Temerloh selama ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, kepimpinan bahagian itu juga turut mendoakan kejayaan Tengku Azlan walaupun mereka kini berbeza ideologi politik.

Ujarnya, ketiadaan Tengku Azlan tidak menjejaskan bahagian itu dan menegaskan beliau akan terus bekerja keras demi kepentingan rakyat.

"Saya juga ingin menjelaskan untuk terus berdiri teguh dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu," tambahnya.

Artikel Berkaitan: