Industri pelancongan Pulau Pinang sambut baik pelonggaran SOP

Pekerja salah sebuah hotel terkemuka di George Town melakukan kerja-kerja sanitasi di bilik hotel selepas aktiviti pelancongan dalam negeri dibenarkan oleh kerajaan bermula esok ketika tinjauan pada Isnin. - Foto Bernama
Pekerja salah sebuah hotel terkemuka di George Town melakukan kerja-kerja sanitasi di bilik hotel selepas aktiviti pelancongan dalam negeri dibenarkan oleh kerajaan bermula esok ketika tinjauan pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Pemain industri pelancongan di Pulau Pinang menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, yang membenarkan mereka untuk beroperasi semula untuk tetamu mereka yang telah menerima dos vaksin penuh.

Pengerusi Persatuan Perhotelan Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Raj Kumar berkata, pengumuman itu memberikan harapan pemulihan kepada industri perhotelan, dan teruja untuk beroperasi semula.

Bagaimanapun beliau berharap, kerajaan Persekutuan akan memberikan garis panduan jelas dan menyeluruh mengenai kebenaran pembukaan semula tersebut.

Antara isu yang beliau utarakan termasuklah garis panduan disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), yang menyatakan kesemua pekerja dan pelanggan yang dibenarkan berada di dalam premis restoran, hanyalah mereka yang telah divaksin sepenuhnya.

“Jika peraturan yang sama terpakai untuk sektor perhotelan, adakah ini bermakna yang kesemua kakitangan hotel perlu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 mereka sepenuhnya, sebelum sesebuah hotel itu dibenarkan untuk dibuka semula untuk orang ramai?,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata, kira-kira 90 peratus daripada kakitangan hotel di Pulau Pinang telah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 mereka yang pertama, namun hanya kira-kira 500 orang yang telahpun menerima suntikan dos vaksin yang lengkap.

Raj Kumar menjelaskan, sejumlah kakitangan hotel telah pun menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 AstraZeneca, yang memerlukan mereka menunggu lebih lama untuk menerima suntikan kedua berbanding Pfizer.

“Kami mahu beroperasi semula dan memastikan yang terbaik untuk keselamatan dan kesihatan tetamu kami yang telah menerima vaksin yang lengkap, tetapi kami juga terlebih dahulu mahu memastikan yang kami layak untuk beroperasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Perdana Menteri mengumumkan bahawa aktiviti pelancongan melibatkan penginapan di hotel dan inap desa dalam negeri yang sama adalah dibenarkan bermula esok (10 Ogos), untuk negeri-negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kawasan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP), Ch’ng Huck Theng berharap, agar kawasan-kawasan yang menjadi tarikan pelancongan juga dimasukkan untuk dibenarkan beroperasi semula dalam tempoh terdekat.

Beliau mencadangkan tarikan pelancongan taman tema terbuka seperti Taman Burung, Taman Rempah Tropika (TSG) dan ‘The Habitat’ boleh dibenarkan untuk dibuka terlebih dahulu untuk aktiviti sukan dan rekreasi.

“Jika kami dibenarkan untuk sekali lagi beroperasi, kami akan sentiasa memastikan pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19,” katanya.