PGA patahkan cubaan seludup 110 ekor kambing boer

Cubaan menyeludup masuk 110 ekor kambing jenis boer secara haram ke negara ini dari Thailand yang dianggarkan bernilai RM165,000 berjaya dipatahkan oleh Batalion 9 PGA Kuala Terengganu pada Sabtu.
Cubaan menyeludup masuk 110 ekor kambing jenis boer secara haram ke negara ini dari Thailand yang dianggarkan bernilai RM165,000 berjaya dipatahkan oleh Batalion 9 PGA Kuala Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 110 ekor kambing jenis boer secara haram ke negara ini dari Thailand yang dianggarkan bernilai RM165,000 pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, rampasan itu dilakukan selepas anggotanya menahan sebuah lori yang membawa haiwan tersebut di kawasan Taman Perumahan Jintan KB IV, Pusu 40, di sini dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM295,000.

"Semasa melakukan rondaan penugasan pada jam 11 malam, sebuah lori telah memintas kenderaan PGA dalam keadaan mencurigakan semasa melalui persimpangan lampu isyarat Lubok Jong menghala ke Tanah Merah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, anggota PGA kemudian mengekori lori itu dan berjaya menahan kenderaan itu di kawasan perumahan.

Beliau berkata, terkejut dengan kehadiran anggota PGA pemandu lori itu telah bertindak melarikan diri ke dalam kawasan hutan bagi mengelakkan daripada dicekup.

Nor Azizan berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lori itu di Komtak membawa kepada penemuan 110 ekor kambing jenis boer dan pihaknya tidak menolak kemungkinan kambing-kambing ini untuk pasaran tempatan.

"Kesemua kambing-kambing itu dibawa balik ke Kompeni Taktikal (Komtak) Jeram Perdah untuk tindakan lanjut.

"Rampasan itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1963," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!