'Saya sudah buat sehabis baik'

Azizulhasni Awang
Azizulhasni Awang
A
A
A

JAGUH lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak dapat menyembunyikan perasaannya antara suka dan duka selepas meraih pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu pada Ahad.

Tampil sebagai harapan terakhir untuk menambah koleksi pingat terutamanya menjelmakan emas sulung Sukan Olimpik buat kontinjen Malaysia, Azizulhasni sudah melakukan segala-galanya dan apa yang termampu bagi mencapai misi tersebut.

Biarpun cukup dominan ketika saingan suku akhir dan separuh akhir yang turut berlangsung pada Ahad, Azizulhasni terpaksa akur dengan taktikal luar biasa penyandang juara dari Great Britain, Jason Kenny yang akhirnya menyambar emas.

Pada tiga pusingan terakhir, Kenny bertindak 'memecut' lebih awal untuk meninggalkan jauh barisan pencabarnya termasuk Azizulhasni sehingga menyebabkan kelompok lima pelumba berkenaan sukar untuk mengejarnya yang selesa memimpin perlumbaan.

Ketika perlumbaan berbaki dua pusingan, Azizulhasni mula 'menambah' kekuatan henjutannya sehingga berjaya memintas juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen pada saat-saat akhir bagi membolehkan dia menyambar pingat perak.

“Sebenarnya saya tak boleh pecut awal kerana ia agak berisiko. Cuma saya tak faham apa yang pelumba dari Australia (Matthew Glaetzer) itu buat, dia sepatutnya himpit tapi (dia) memberikan terlalu banyak gap sehingga 20 meter.

“Saya tidak ada pilihan dan hanya tunggu dia (Glaetzer) pergi (menghimpit Kenny). Bila Kenny pergi (memecut ke depan), dia (Glaetzer) pun dah terlambat dan we just go for the best spot.

“Saya tengok saya tak dapat kalahkan Kenny dan (akhirnya) dapat second place (pingat perak). Tapi saya nak rakyat Malaysia tahu, daripada awal sampailah ke final, saya sudah sehabis baik,” kata Azizulhasni selepas majlis penyampaian kalungan pingat.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri, Azizulhasni, Kenny dan Lavreysen bersama pingat masing-masing selepas upacara penyampaian pingat acara keirin Velodrom Izu, pada Ahad. FOTO: AFP
Dari kiri, Azizulhasni, Kenny dan Lavreysen bersama pingat masing-masing selepas upacara penyampaian pingat acara keirin Velodrom Izu, pada Ahad. FOTO: AFP

Pada ketika Azizulhasni mengimbas semula detik-detik perhitungan akhir acara kegemarannya itu, dia dilihat gagal mengawal emosinya sehingga menitiskan air mata mengenangkan apa yang dilaluinya sebelum beraksi di bumi Tokyo.

Malah, dia dilihat menangis teresak-esak sambil berkali-kali meminta maaf ketika bersemuka dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“Perjalanan saya penuh suka duka, pahit manis. Masa saya kayuh tadi, saya teringat anak saya di Melbourne, isteri, mak dan ayah saya. Daripada saya umur 15 tahun, saya tinggalkan kampung, mak saya tinggal seorang.

“Masa saya terbang ke Tokyo, saya dapat tahu ayah saya masuk hospital di serang mild strok. Tapi adik-beradik saya mahu saya fokus Olimpik. Saya tiada pilihan, saya fikirkan tanggungjawab saya kepada negara.

“Masa saya kayuh saya ingatkan mereka semua, saya harap mereka semua tak kecewa dengan keputusan ini. Saya sudah buat yang terbaik untuk mereka untuk rakyat Malaysia dan untuk sukan negara kita,” ujarnya.