Jangan terlalu gembira kelonggaran diberikan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kemudahan kepada penerima lengkap dua dos vaksin Covid-19 memberi kelegaan kepada mereka yang berada di negeri-negeri dalam kumpulan fasa dua dan tiga.

Dengan kelonggaran tersebut, dapatlah penduduk di negeri terlibat ‘bebas sedikit’ menikmati keseronokan makan di kedai, rentas negeri dan melakukan aktiviti sosial seperti yang telah dinyatakan.

Namun di sebalik kebenaran tersebut, rakyat di negeri terlibat perlu terus waspada dan tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana bahaya Covid-19 masih ada di mana-mana.

Dengan varian Delta yang makin mengganas, penduduk di negeri fasa dua dan tiga tidak boleh terlalu bergembira kerana kes boleh kembali meningkat dengan mendadak jika SOP diabaikan.

Sudah pasti kita semua tidak mahu negeri yang berada di fasa terlibat hilang kelonggaran sedia ada disebabkan kealpaan masing-masing.

Satu lagi yang perlu diberi perhatian ialah kes kematian yang berlaku pada Ahad iaitu sebanyak 360 orang dan merupakan kes tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia.

Sehingga kini kes kematian terkumpul ialah 10,749 orang dan jumlah berkenaan dijangka meningkat lagi apabila kes positif kini sudah mencecah angka 20,000 kes positif.

Seperti yang dinyatakan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, jumlah kematian akibat Covid-19 dijangka terus meningkat ekoran jumlah kes harian yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Ia adalah berdasarkan prinsip perkadaran iaitu kes kematian berasaskan jumlah kes harian.

Pihak hospital pula sudah menggunakan kontena bagi menyimpan mayat kerana ruang yang ada tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia.

Walaupun ajal dan maut sudah tertulis, namun semua pihak tidak boleh memandang ringan kes kematian yang berlaku dan perlu mengambil iktibar daripadanya.