Shah Firdaus terkilan gagal pergi lebih jauh

Aksi Pelumba basikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom acara keirin pada saingan suku akhir Olimpik Tokyo 2020 di gelanggang Izu Velodrome di Shizuoka pada Ahad. - Foto Bernama
Aksi Pelumba basikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom acara keirin pada saingan suku akhir Olimpik Tokyo 2020 di gelanggang Izu Velodrome di Shizuoka pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom jelas kecewa kerana gagal melangkah lebih jauh dalam acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, Shizuoka.

Pelumba kelahiran Muar, Johor itu yang membuat penampilan sulung di pentas Olimpik, berkata dengan persiapan rapi serta prestasinya yang semakin baik, beliau percaya mampu mara ke peringkat lebih tinggi berbanding terkandas di saingan suku akhir.

“Kita datang ke sini dengan misi penting, hari pertama sebelum pelanggaran, prestasi dan kayuhan saya boleh dikatakan mantap.

“Memang saya kecewa dengan keputusan ini kerana saya menjangkakan lebih (daripada bersaing di peringkat suku akhir) kerana prestasi saya semakin baik. Tetapi segalanya boleh berlaku dan kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Muhammad Shah Firdaus gagal layak ke separuh akhir acara keirin selepas menduduki tempat terakhir saringan kedua suku akhir, pagi Ahad.

Pelumba berusia 25 tahun itu menamatkan saringan kedua suku akhir dengan berada di tempat keenam daripada enam pelumba.

Namun, beliau tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi walaupun masih mengalami kesakitan selepas terbabit dalam kemalangan pada saringan kedua pusingan awal pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Muhammad Shah Firdaus berkata, ketika perlumbaan pada Ahad, beliau masih mengalami kesakitan akibat pelanggaran itu.

Artikel Berkaitan:

“Selepas kemalangan (Sabtu), saya bergelut nak teruskan perlumbaan tetapi saya berusaha melakukan yang terbaik dan berjaya mara ke suku akhir. Saya dikejarkan ke hospital kerana tulang rusuk saya terhentak dan saya sukar bernafas. Malah kaki saya masih bengkak.

“Saya hanya balik dari hospital pada pukul 10 malam (9 malam waktu Malaysia) semalam... selepas itu makan dan buat semuanya. Nak pulih daripada perlumbaan semalam agak pendek sedangkan perlumbaan hari ini bermula pagi.

“Semasa perlumbaan hari ini, saya tidak tahu nak jelaskan macam mana. Saya rasa sakit ketika hendak buat pecutan. Momentum kayuhan saya tidak sama seperti semalam,” katanya dan menjelaskan yang beliau tidak menghadapi tekanan semasa perlumbaan kerana sering mendapat bimbingan daripada seniornya, Datuk Azizulhasni Awang.

Muhammad Shah Firdaus, yang sebelum ini menjalani latihan di Melbourne, Australia, berkata selepas temasya di Tokyo itu, beliau mahu meluangkan masa bersama keluarga di Malaysia.

“Selepas itu baru fikirkan mengenai kejohanan akan datang kerana saya dimaklumkan Kejohanan Dunia dijangka diadakan di Perancis pada hujung tahun ini. Tetapi perkara ini masih dibincangkan oleh jurulatih,” katanya.

Muhammad Shah Firdaus yang bertekad untuk terus bersaing pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, berkata beliau akan berusaha lebih keras agar dapat memberikan impak pada temasya sukan tersebut. - Bernama