MBSA ubah suai lori sebagai kenderaan jenazah

Lori MBSA yang diubahsuai digunakan bagi membawa jenazah Covid-19 di hospital ke Tanah Perkuburan Islam. - Foto Facebook MBSA
Lori MBSA yang diubahsuai digunakan bagi membawa jenazah Covid-19 di hospital ke Tanah Perkuburan Islam. - Foto Facebook MBSA
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebuah lori Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah diubah suai sebagai kenderaan jenazah pesakit Covid-19.

Video berdurasi satu minit empat saat yang tular di media sosial itu menunjukkan lori terbabit ditutup kanvas berwarna biru yang tertera logo MBSA.

Menerusi video itu, bacaan surah al-Fatihah turut kedengaran selain rakaman menunjukkan rak khas tiga tingkat di gerabak lori bagi menempatkan jenazah Covid-19.

Dalam video terbabit juga memaparkan petugas yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) mengusung jenazah untuk dimasukkan ke dalam lori dan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam bagi pengebumian.

Lori MBSA yang diubahsuai digunakan bagi membawa jenazah Covid-19 di hospital ke Tanah Perkuburan Islam.- Foto Facebook MBSA
Lori MBSA yang diubahsuai digunakan bagi membawa jenazah Covid-19 di hospital ke Tanah Perkuburan Islam.- Foto Facebook MBSA

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, MBSA mengambil inisiatif membantu mempercepatkan pengurusan jenazah pesakit Covid-19 dengan mengubah suai sebuah lori milik MBSA.

Beliau berkata, lori itu digunakan untuk dijadikan kenderaan membawa jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

"Lori yang diubah suai ini boleh membawa 12 jenazah dalam satu masa dari hospital yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, proses pengebumian pada Sabtu melibatkan jenazah dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR).

"Kita berharap dengan adanya kenderaan yang diubah suai ini dapat membantu mempercepatkan proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 dan memudahkan urusan semua pihak," katanya.