Guna kes kemasukan hospital baharu bergejala

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bilangan kes kemasukan hospital baharu yang bergejala digunakan sebagai satu daripada indikator peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Penyelaras PPN, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat pakar kesihatan dan pengalaman antarabangsa serta domestik.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, ia juga dibuat berdasarkan penelitian bahawa risiko penularan Covid-19 menurun seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

“Majlis Pemulihan Negara (MPN) juga memutuskan indikator tersebut hanya akan menggantikan indikator sedia ada iaitu bilangan kes Covid-19 harian baharu apabila vaksinasi sesebuah negeri dalam fasa satu mencapai kadar sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.

“Penanda aras bagi kes bergejala yang digunakan adalah berdasarkan kemasukan harian ke hospital bagi jumlah kes pesakit dalam kategori tiga, empat dan lima," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, dalam penilaian untuk peralihan daripada satu fasa kepada fasa selanjutnya, ia masih tertakluk pada keperluan memenuhi kesemua indikator termasuk penggunaan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

“Contohnya, bagi Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan Melaka yang masih berada di fasa satu apabila mereka mencapai kadar vaksinasi sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa, indikator kes yang akan digunapakai ialah kes kemasukan hospital baharu yang bergejala.

“Seterusnya, negeri ini hanya boleh beralih ke fasa dua jika mencapai nilai ambang kes kemasukan hospital baharu yang bergejala (6.1 per 100,000 penduduk) dan tahap kapasiti penggunaan ICU (sederhana),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keputusan itu juga diambil selepas risiko penularan dilihat terkawal di Sarawak dan wilayah Labuan dengan pengurangan ketara kes bergejala dan yang memerlukan rawatan di wad ICU.

Tambah Tengku Zafrul, walaupun Sarawak dan Labuan berdepan penggunaan kapasiti wad ICU penuh pada Jun, namun setelah kadar vaksinasi mencecah 50 peratus pada Julai, penggunaannya telah menurun bagi kedua-duanya dan mencapai tahap mencukupi.

“Justeru, penilaian risiko bagi mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial akan lebih tepat jika berasaskan bilangan kes bergejala kategori tiga, empat dan lima berbanding jika merujuk jumlah kes baharu harian,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, United Kingdom juga telah mengambil pendekatan yang tertumpu kepada kadar kes bergejala.

Katanya, negara itu telah membenarkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial berdasarkan penilaian risikonya iaitu jumlah kes bergejala adalah rendah walaupun jumlah kes baharu masih tinggi.

“Sejak dari awal pengumuman PPN, kerajaan telah menekankan bahawa PPN perlu bersifat dinamik di mana semua pendekatan yang diambil adalah berdasarkan data dan sains.

“Penggunaan nilai indikator baharu ini akan dapat menambahbaik penilaian risiko dalam mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial dalam konteks peralihan fasa PPN,” ujarnya.