Qobin tawar RM25,000 kepada penerima pingat emas Olimpik pertama negara

Qobin
Qobin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Exco Pemuda UMNO , Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin sedia menawarkan hadiah wang tunai RM25,000 kepada pelumba basikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sharom sekiranya dapat membawa pulang pingat emas pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk Malaysia.

Muhamad Muqharabbin atau lebih dikenali sebagai Qobin berkata, RM15,000 pula ditawarkan bagi pingat perak, manakala RM10,000 bagi pingat gangsa atau mereka yang berjaya mara ke pusingan akhir.

“Ini adalah sebagai tanda penghargaan dan pengorbanan atlet negara kita yang mengharumkan nama Malaysia dipersada dunia.

“Saya juga seorang atlet dan dapat menjiwai susah payah serta perit jerih berlatih, disokong tatkala menang, direndah-rendahkan di saat kalah, sedangkan bukan mudah mencapai tahap juara dunia. Dapat menjadi atlet ke sukan Olimpik pun satu pencapaian tertinggi.

“Jadi, saya tergerak ingin memberikan sokongan dan sumbangan peribadi terhadap semangat kesukanan yang mereka tunjukkan buat rakyat Malaysia serta dunia,” katanya pada Sabtu.

Jelasnya, beliau juga pernah memasang impian untuk ke Sukan Olimpik dalam acara olahraga, namun takdir ALLAH SWT memberikan kejayaan lain iaitu menjadi Penjelajah Grand Slam dengan mendaki tujuh puncak tertinggi di tujuh benua serta berski di kutub utara dan kutub selatan.

“Saya dan rakyat Malaysia mendoakan kejayaan untuk Mohd Azizulhasni dan Shah Firdaus.

“Saya harap satu hari nanti, ada antara anak-anak saya berjaya mendapat pingat emasdi Sukan Olimpik,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Qobin menambah, pemenang pingat emas Olimpik juga akan diberikan hadiah pakej menunaikan haji, manakala hadiah sumbangan turut diberi kepada pemenang pingat gangsa acara badminton.