Fokus kesejahteraan rakyat, bukan politik: Mohd Redzuan

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

GEORGETOWN - Pemimpin UMNO yang berada dalam barisan kabinet seharusnya memberi tumpuan untuk melaksanakan mandat mereka khususnya ketika negara berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, tumpuan ketika ini juga seharusnya difokuskan kepada amanah yang telah diberikan berbanding memberi perhatian kepada soal politik.

Menurut beliau, ketika ini bukan masa yang sesuai untuk berpolitik sebaliknya mereka perlu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.

“Buat masa ini sama-samalah kita bantu menambah baik (usaha kerajaan) sekiranya ada kekurangan yang perlu, kita bekerja keras dengan kerajaan sedia ada,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) sebelum itu menghadiri sesi taklimat dan majlis Pemakaian Vest Pemerkasaan Komuniti dan Pangkat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, beliau memahami pendirian sesetengah pemimpin UMNO yang memilih untuk mentaati keputusan serta pemimpin parti itu dan meninggalkan kerajaan PN.

"Jika mereka ini mementingkan diri sendiri atas sebab untuk mereka lebih mentaati hierarki politik daripada melunaskan tanggungjawab bersama kerajaan, maka saya tidak dapat komen banyak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai dakwaan ahli Parlimen DAP kononnya terdapat cubaan PN untuk membeli mereka, Mohd Redzuan berkata, sesiapa pun boleh membuat tuduhan itu dan beliau memilih untuk tidak mencampuri perkara tersebut.

Beliau berkata, perkara itu juga terpulang kepada jati diri individu yang berkecimpung di dalam politik yang mana mereka tidak seharusnya menggadaikan atau ‘berniaga’ semata-mata untuk kepentingan diri.

“Apa yang penting kami akan terus menjalankan tanggungjawab menguruskan kerajaan sedia ada dan kita tunggu seperti apa yang ditetapkan kerajaan untuk mengadakan undi percaya apabila Parlimen dibuka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Redzuan berkata, seramai 12,000 anggota tetap APM di seluruh negara telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, suntikan vaksin berkenaan membolehkan anggota APM berasa lebih yakin ketika bertugas di lapangan dalam usaha membendung penularan pandemik berkenaan.