'Pandemik Covid-19 bukan bahan jenaka'

Johari Abdul
Johari Abdul
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor digesa memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan pemberian vaksin dan langkah sewajarnya bagi mengawal penularan Covid -19 yang semakin membimbangkan di negeri ini, berbanding sering mengeluarkan kenyataan kurang bijak dan berbaur jenaka.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, kebiadapan Muhammad Sanusi mengeluarkan kenyataan berhubung kontena jenazah pada Jumaat disifatkan sebagai menghina rakyat Kedah.

Menurut Johari, pihaknya kesal kerana kenyataan tersebut ternyata tidak bertanggungjawab terutama dalam isu yang membabitkan soal hidup dan mati.

"Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah kesal isu seumpama itu dijadikan bahan jenaka Muhammad Sanusi.

Sedangkan Kedah merupakan antara negeri yang teruk terkesan wabak Covid-19 yang saban hari menunjukkan peningkatan ketara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Netizen mempersoal kewajaran Muhammad Sanusi berseloroh berhubung isu kontena jenazah yang tular.
Netizen mempersoal kewajaran Muhammad Sanusi berseloroh berhubung isu kontena jenazah yang tular.

Johari yang juga Pengerusi MPN PKR Kedah menyifatkan kenyataan secara berseloroh itu tidak kena pada tempatnya selain menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu memandang remeh isu melibatkan nyawa rakyat.

"Apa yang dianggap jenaka oleh beliau itu sebenarnya telah menimbulkan rasa kurang senang rakyat Kedah secara keseluruhannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, pada sidang akhbar di Sungai Petani, Muhammad Sanusi secara berseloroh bergurau kepada wartawan berhubung isu 'kontena jenazah’

Ia tular di media sosial sejak petang Jumaat dan menimbulkan kemarahan netizen.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi telah memohon maaf kepada semua pihak terutamanya penduduk negeri ini pada sidang akhbar di Sintok pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN:Saya hanya bergurau dengan wartawan: MB Kedah