UMNO PJ sokong keputusan MKT

Abdul Mutalif
Abdul Mutalif
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Bahagian Petaling Jaya menyokong penuh keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata, kepimpinan parti perlu mengutamakan rakyat yang sedang terbeban teruk ekoran pandemik Covid-19 dan masalah kelembapan ekonomi negara.

Beliau berkata, keputusan dibuat MKT yang bersidang pada 3 Ogos lalu adalah selaras dengan ketetapan yang dibuat menerusi Persidangan Agung UMNO (PAU) yang lalu.

"UMNO Bahagian Petaling Jaya berpegang teguh kepada prinsip asal perjuangan parti yang termaktub di bawah Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media khas pada petang Selasa lalu memaklumkan MKT UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam perkembangan sama, Mutalif berkata, UMNO Bahagian Petaling Jaya menzahirkan sokongan ke atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan Ordinan Darurat.

"Pendekatan secara berhemah dan bijaksana wajar diutamakan oleh kerajaan terutama dalam membuat keputusan atau sesuatu tindakan yang melibatkan Perlembagaan," katanya.

Artikel Berkaitan: