Tular tayang pistol sambil minum arak, tiga lelaki ditahan

Tangkap layar rakaman video yang memperlihatkan tiga lelaki dengan seorang daripada mereka memegang senjata menyerupai sepucuk pistol.
Tangkap layar rakaman video yang memperlihatkan tiga lelaki dengan seorang daripada mereka memegang senjata menyerupai sepucuk pistol.
A
A
A

IPOH - Tiga lelaki ditahan selepas dikesan memiliki senjata tiruan menyerupai pistol semi-auto yang videonya tular di media sosial pada Jumaat.

Kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun itu ditahan dalam dua lokasi berasingan di Ipoh pada jam 2.30 petang dan 7 malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, rakaman video berdurasi 12 saat yang tular itu memperlihatkan seorang lelaki memegang senjata menyerupai sepucuk pistol di hadapan sebuah rumah bersama dua rakan lain.

Menurutnya, perbuatan itu telah mendatangkan kegusaran kepada masyarakat terhadap keselamatan awam.

"Polis mengesan rakaman video tular itu menerusi aplikasi WhatsApp pada Jumaat sekitar jam 1.30 petang dan pada hari sama, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya mengesan dan menangkap dua remaja terlibat yang ketika itu berkeliaran menunggang motosikal di Jalan Kampung Paloh, Ipoh.

"Dalam penahanan itu, polis turut berjaya merampas satu senjata tiruan menyerupai senjata api jenis pistol semi-auto.

"Siasatan kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki terlibat pada hari sama," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, ketiga-tiga lelaki itu mengaku membeli pistol tiruan tersebut dan berkumpul di hadapan sebuah rumah sambil minum minuman keras pada 5 Ogos lepas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika kejadian, seorang daripada mereka mempamerkan pistol tiruan yang dimiliki sebelum dirakam oleh rakan lain dan ditularkan.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa lesen sah.

"Polis menasihatkan orang ramai agar tidak sesekali cuba menularkan sebarang aksi dan perbuatan yang boleh mengganggu gugat keselamatan awam," katanya.