Sindiket pengedaran dadah tumpas, RM1.3 juta dadah dirampas

Antara dadah yang dirampas menerusi operasi yang dijalankan.
Antara dadah yang dirampas menerusi operasi yang dijalankan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif di sekitar kawasan Lembah Klang dengan tertangkapnya lima individu dalam Ops Conglomerate di sekitar kawasan Lembah Klang pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komissioner Sahar Abd Latif berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah bernila RM1.3 juta dalam operasi terbabit.

Menurutnya, kesemua suspek terlibat ditahan menerusi hasil risikan selama sebulan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur.

"Operasi yang dijalankan kira-kira jam 3.20 petang itu berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan dan dua wanita warga asing berusia dalam lingkungan antara 20 hingga 55 tahun.

"Siasatan dijalankan mendapati ketua sindiket ini merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 55 tahun dan suspek ditahan bersama anak lelakinya berumur 29 tahun yang didapati menjalankan aktiviti pengedaran dadah," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Sahar berkata, polis turut membuat serbuan di tiga lokasi berbeza yang terletak di Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur dan Puchong, Selangor.

"Antara dadah yang berjaya dirampas adalah serbuk MDMA seberat 20.386 gram atau 20.38 kilogram bernilai RM1,223,159, cecair MDMA sebanyak 26,590 ml atau 26.59 liter bernilai RM14,300, methamphetamine sebanyak 277.55 gram atau 0.28 kilogram bernilai RM27,755.

"Selain itu, turut dirampas pil erimin 5 seberat 138 gram (500 biji) bernilai RM7,500; pil ekstasi seberat 22 gram atau 65 biji bernilai RM1,170, kapsul MDMA seberat 94 gram atau 182 biji bernilai RM 5,639 serta wang tunai sebanyak RM3,420," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan awal mendapati premis yang diserbu itu dijadikan tempat penyimpanan dadah.

Katanya, premis berkenaan disewa selama empat bulan oleh lelaki warga tempatan dengan anggaran sewa antara RM2,150 hingga RM2,200 sebulan.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah methamphetamine manakala dua suspek lagi negatif.

"Semakan rekod lampau turut mendapati terdapat seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Sahar berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 21,540 orang penagih dadah,

"Nilai rampasan dadah berjumlah RM1,279,523 manakala nilai rampasan sitaan wang tunai sebanyak RM3,420 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan adalah sebanyak RM1,282,943," katanya.