Bukit Broga permata istimewa di Semenyih

Bukit Broga. - Foto Wikipedia
A
A

SEMENYIH - Bukit Broga yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur dan berhampiran dengan Negeri Sembilan, merupakan lokasi tumpuan para pendaki selain menjadi kawasan riadah keluarga terutama pada hujung minggu.

Berdekatan dengan bandar Semenyih, Bukit Broga mempunyai tiga puncak berketinggian sehingga 400 meter dari paras laut, ketinggian yang dianggap sederhana menjadikannya popular sebagai destinasi bagi mereka yang meminati aktiviti pendakian.

Dilaporkan pada 2017 Kerajaan Negeri Selangor mewartakan Bukit Broga sebagai kawasan rekreasi seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dengan Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Pegawai Pengawal dan diselenggara Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Bagi mereka yang pertama kali mendaki Bukit Broga mungkin merasakan laluan ke puncak bukit tersebut agak sukar namun bagi yang berpengalaman dalam aktiviti pendakian, ia merupakan antara bukit yang paling mudah untuk ditawan.

Bagi seorang pendaki Izyan Hanim Ibrahim, 25, bentuk bukitnya yang agak landai membolehkan puncak bukit itu senang didaki termasuk mereka yang baru menjinakkan diri dalam aktiviti mendaki.

“Lagipun terdapat tali keselamatan dipasang pada laluan yang sukar jadi sesiapa sahaja boleh mendaki Bukit Broga.

“Banyak kali juga saya datang ke sini terutama hujung minggu. Tetapi kalau hujung minggu ramai orang jadi kena ambil masa sedikit untuk naik ke puncak kerana akan bertembung dengan pendaki yang hendak turun dari bukit,” kata Izyan Hanim ketika ditemui Bernama di Bukit Broga, di sini.

Pemandangan di atas puncaknya sangat mengujakan terutama sewaktu matahari terbit menyebabkan ada pendaki sanggup memulakan pendakian seawal 4 pagi.

Muhammad Faqih Ahmad, 23, berkata antara aktiviti yang paling digemarinya di Bukit Broga adalah menikmati mi segera yang dimasak di atas puncak itu menggunakan backpacking stove.

“Selepas turun dari Bukit Broga, saya dan rakan-rakan akan mandi-manda di air terjun Sungai Gabai yang terletak kira-kira 40 kilometer dari sini (Bukit Broga),” katanya.

Zubaidah Iberahim, 31, yang telah tiga kali mendaki Bukit Broga berkata beliau bagaimanapun kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pendaki yang membuang sampah di atas bukit sewenang-wenangnya.

“Kalau tengok di atas puncak, sama ada puncak pertama, kedua atau ketiga, dapat dilihat sampah-sampah seperti botol air dibuang sesuka hati. Niat baik kita mendaki Bukit Broga untuk melihat keindahan alam janganlah dicemari dengan perangai buruk sebegini,” katanya.

Bagi seorang anggota jawatan kuasa sebuah kelab kebajikan PB Hope, Zulhairi Adli Amran, caj RM1 seorang yang dikenakan untuk mendaki dirasakan munasabah kerana kawasan tersebut dijaga dengan elok.

“Keadaan Bukit Broga kini lebih terjaga dengan pelbagai kemudahan disediakan seperti tandas dan tempat letak kereta yang selamat. Malah laluan pendakian juga lebih mudah untuk dilihat,” katanya.

Zulhairi berkata PB Hope melaksanakan kerja-kerja amal di Bukit Broga termasuk penanaman semula pokok-pokok di kawasan bukit dan membawa mereka yang mempunyai masalah autisme mendaki bukit tersebut.

Suhaidy Zakariya, 45, yang berpengalaman luas dalam dunia pendakian memberikan beberapa tips kepada pendaki baharu antaranya membawa air yang mencukupi untuk sentiasa bertenaga sepanjang pendakian.

“Bawalah air satu atau satu setengah liter dan jangan lupa bawa air manis untuk beri tenaga. Sebelum mendaki makan sumber karbohidrat kompleks yang mengenyangkan seperti nasi,” katanya, yang pernah menawan beberapa puncak gunung terkenal di Malaysia termasuk Gunung Kinabalu di Sabah dan Gunung Tahan di Pahang.- Bernama