JKM Kelantan terima 1,497 panggilan perlu bantuan sepanjang PKP 3.0

Said (kanan), Mumtaz dan Siti Zabidah (empat dari kanan) menunjukkan barangan makanan untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Belian, Tumpat.
Said (kanan), Mumtaz dan Siti Zabidah (empat dari kanan) menunjukkan barangan makanan untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Belian, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menerima 1,497 panggilan daripada penduduk negeri ini yang memerlukan bantuan makanan dan kewangan sepanjang dua bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula Jun lalu.

Panggilan menerusi Talian Kasih 15999 yang diterima itu lebih kerap berbanding dua PKP terdahulu yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Pengarah JKM negeri, Said Sidup berkata, mereka menghubungi talian berkenaan bagi mendapatkan bantuan kebanyakannya akibat hilang punca pendapatan ekoran pelaksanaan PKP.

Katanya, antara mereka ada yang perniagaan terjejas sehingga tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli makanan.

Said
Said

“Mereka yang memerlukan ini akan terus dibantu melalui Skuad Prihatin yang akan menghantar bekalan makanan menerusi Bakul Prihatin Negara 2021.

“Tidak ada syarat ketat sebaliknya akan terus dibantu walaupun panggilan yang diterima semakin banyak hingga mencecah 1,497 bermula Jun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Belian di sini pada Khamis.

Beliau sebelum itu menghadiri program agihan bakul makanan daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Siti Zabidah Abd Hamid.

Said berkata, setakat ini, JKM mengagihkan 8,200 bakul makanan menerusi fasa pertama kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Sebelum ini, agihan hanya tertumpu pada penerima bantuan JKM tetapi kali ini diperluaskan kepada skop yang lebih besar iaitu semua lapisan masyarakat yang terjejas,” katanya.

Tambah beliau, agihan dilakukan secara adil tanpa mengira latar belakang selagi mereka memerlukan dan bagi yang ingin mendapatkan bantuan bakul makanan boleh menghubungi Talian Kasih 15999.

Dalam pada itu, Mumtaz berkata, sebanyak 250 buah rumah di Kampung Belian yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu hingga 17 Ogos ini diberikan bantuan makanan.

“Pengagihan dilakukan sebanyak tiga kali dalam tempoh dua minggu PKPD dengan menggunakan sukarelawan bermotosikal beroda tiga bagi mengelak pengumpulan orang ramai.

“Sebagai tambahan, sayur, ayam mentah dan makanan ringan dibekalkan dan diharap mencukupi bagi mengelakkan penduduk keluar dari kawasan PKPD bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.