Selangor tawar data internet percuma selama setahun

Amirudin membuat pengumuman mengenai inisiatif Data Internet Selangor di laman Facebook rasminya, pada Khamis.
Amirudin membuat pengumuman mengenai inisiatif Data Internet Selangor di laman Facebook rasminya, pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menawarkan pemberian kad sim bersama kemudahan data internet percuma untuk tempoh setahun kepada penduduk yang layak dalam usaha memperkasakan agenda digitalisasi di negeri ini.

Inisiatif Data Internet Selangor menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyediakan peruntukan sebanyak RM17.5 juta bagi menjayakan usaha tersebut yang merupakan kesinambungan Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan sebelum ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 70,000 penerima bakal mendapat manfaat berkenaan bagi membantu melancarkan kehidupan masyarakat mengharungi cabaran pandemik Covid-19.

"Kerajaan negeri menyedari keperluan data internet dalam kalangan rakyat bagi mengharungi norma baharu ini," katanya menerusi pengumuman Data Internet Selangor yang disiarkan di Facebook pada Rabu.

Jun lalu, Amirudin mengumumkan inisiatif berkenaan yang menawarkan produk kad sim data internet tanpa had dengan kadar istimewa iaitu RM35 sebulan.

Bagaimanapun beliau berkata, penerima program itu hanya perlu membayar RM15 dan baki selebihnya RM20 akan dibayar oleh MBI.

Dalam perkembangan sama, Amirudin memberitahu, bagi memastikan setiap kelompok sasar mendapat manfaat menerusi inisiatif itu, semua barisan exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berganding bahu membantu mendaftarkan mereka yang berkelayakan untuk mendapatkan kemudahan berkenaan.

Beliau berkata, setiap kawasan DUN akan menerima 200 kad sim untuk diagihkan kepada setiap penerima yang layak.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai boleh berhubung dengan pusat khidmat DUN masing-masing bagi mendapatkan maklumat mengenai permohonan inisiatif ini.

"Dengan memastikan semua golongan lapisan mendapatkan akses internet ini, saya yakin sebahagian besar rakyat Selangor akan mendapat manfaat daripada agenda digitalisasi ini," katanya.

Untuk sebarang maklumat, orang ramai boleh berkunjung ke pautan https://platselangor.com/ bagi mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif ini.