Air mata pegawai bomba gugur lagi

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota Bomba dan Penyelamat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - Foto Bernama
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota Bomba dan Penyelamat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Suasana sedih sekali lagi menyelubungi Mahkamah Koroner apabila saksi ke-18 Inkues Kematian Muhammad Adib mengimbau kembali detik-detik Allahyarham memohon cuti kahwin.

Ketua Balai Bomba USJ, Syed Sharil Anuar Syed Sulaiman sebelum itu kelihatan sebak akhirnya mengalirkan air matanya di kandang saksi.

Selepas beberapa ketika dia kemudiannya berkata, Muhammad Adib berjumpa dengannya untuk membuat permohonan cuti kahwin.

"Saya bergurau dengan mengatakan kad jemputan pertama harus diberikan kepada saya, barulah cuti diluluskan.

"Kami sama-sama ketawa.

"Dia katakan, tuan perlu hadir kerana dia adalah satu-satunya anggota yang akan berkahwin pada penutup 2018.

"Saya peluk dia dan berkata Insya-ALLAH," katanya.

Menurutnya, Muhammad Adib merupakan seorang yang sangat disenangi oleh semua.

Artikel Berkaitan:

"Dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan anggota lain dan juga saya.

"Arwah juga suka tersenyum," katanya.

Beliau berkata, corak kerja yang diamalkan mereka berkonsepkan brotherhood di mana semua memegang prinsip seerat serasa sehati sejiwa.

"Jadi dalam balai itu seperti sebuah keluarga. Arwah Adib seolah-olah adik kepada senior dan abang kepada junior.

Dek kerana sifat dan komited terhadap tanggungjawab, Syed Sharil Anuar bercadang untuk menyenaraikan nama Muhammad Adib sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

"Biarpun baharu berkhidmat hampir empat tahun, saya bercadang memasukkan namanya, tetapi tidak kesampaian," katanya.

Prosiding inkuiri pada hari ke-11 itu berlangsung di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan dan bersambung esok.