X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki didakwa sebar berita palsu

Muhammad Zaki (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Isnin selepas membayar jaminan RM10,000.
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Isnin atas pertuduhan menyebar berita palsu kematian seorang anggota polis akibat suntikan vaksin Covid-19, April lalu.

Tertuduh, Muhammad Zaki Omar, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook menerusi profil akaun Muhammad Zaki Omar dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam kira-kira jam 11.39 malam pada 3 April lalu.

Tertuduh telah menyebarkan berita tidak benar iaitu 'Akhirnya di Gerik hari ini diperakui satu kematian berlaku melibatkan anggota polis. Komplikasi suntikan vaksin dos ke-2. Semoga kebajikan ahli keluarga arwah terjaga. #500k' yang telah dibaca pada 4 April kira-kira jam 9 pagi di pejabat Ketua Polis Balai, Balai Polis Gerik, Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi 100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fajrul Shihar Abu Samah dan Afiqa Liyana Rozman menawarkan jaminan sebanyak RM15,000.

Tertuduh yang diwakili peguam Asiah Abd Jalil memohon jaminan dikurangkan selepas anak guamnya memberi kerjasama baik dengan sanggup berhenti kerja sebagai pengurus produksi sebuah syarikat kejuruteraan di Singapura untuk menghadiri mahkamah.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin selain memerintahkan pasportnya ditahan sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 1 September ini untuk serahan dokumen.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!